LRA Ngoi-Ngoi Fasa 2 dijangka siap Mac 2025

Zulkiflee
Zulkiflee
A
A
A

PORT DICKSON - Projek Loji Rawatan Air (LRA) Ngoi-Ngoi Fasa 2 di Seremban yang membabitkan peruntukan RM228 juta dijangka siap sepenuhnya menjelang Mac 2025.

Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB), Ir. Zulkiflee Omar berkata, projek berkenaan telah pun siap lebih 70 peratus dan merupakan antara projek terbesar pihaknya di Negeri Sembilan.

"Projek ini telah lebih 70 peratus siap dan apabila beroperasi kelak, Loji Rawatan Air Ngoi Ngoi Fasa 2 ini dapat membekalkan 150 juta liter air kepada lebih 78,000 akaun di kawasan Seremban, Nilai dan Sendayan.

"Sekarang tinggal 30 peratus lagi iaitu melibatkan kerja-kerja mekanikal, sivil dan perpaipan. Kita yakin loji rawatan ini akan siap sepenuhnya pada Mac 2025," katanya ditemui pemberita pada Program Kempen Masjid Hijau PAAB 2024 di Masjid Kariah Kampung Jimah Lama di sini pada Khamis.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif MGTC, Shamsul Bahar Mohd Nor.

Menurutnya, kerjasama PAAB dan kerajaan Negeri Sembilan menerusi Syarikat Air Negeri Sembilan (Sains) telah terjalin sejak 2008 yang mana negeri ini antara terawal memuktamadkan perjanjian pelan penstrukturan semula industri bekalan air bersama PAAB.

Ujarnya, nilai projek PAAB yang dalam pembinaan di negeri ini berjumlah RM372 juta.

"Ia termasuk projek membaik pulih dan menaik taraf Loji Rawatan Air Pantai dan Sungai Linggi yang membekalkan air terawat sekitar Seremban, Sikamat dan Ampangan.

Artikel Berkaitan:

"Secara keseluruhannya, sehingga Jun 2024, PAAB telah menyiapkan projek-projek di Negeri Sembilan yang melibatkan peruntukan sebanyak RM512 juta di bawah Skim Pembiayaan PAAB," katanya.

Dalam pada itu, Zulkiflee berkata, masalah air tidak terhasil (NRW) iaitu bekalan air terawat yang tidak sampai kepada pengguna berlaku disebabkan beberapa faktor seperti masalah paip pecah, kecurian air dan meter tidak tepat.

Jelasnya, di antara faktor utama berlakunya masalah paip pecah di kebanyakan tempat disebabkan paip lama yang telah berusia antara 30 hingga 50 tahun.

"Berdasarkan rekod Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Span), sepanjang 39,000 kilometer paip sistem agihan di Semenanjung Malaysia adalah paip lama yang mudah pecah iaitu daripada jenis AC (simen asbestos).

"Ini menyebabkan kadar NRW yang tinggi disebabkan kebocoran paip penghubung yang uzur dan paip lama terutama jenis AC," katanya.

Sehubungan itu, Zulkiflee berkata, pelbagai usaha telah dilaksanakan PAAB untuk menurunkan kadar NRW melalui projek penggantian paip lama termasuk di Negeri Sembilan.

"PAAB telah menggantikan paip lama sepanjang 257.32 kilometer dengan nilai RM74.49 juta di bawah pembiayaan PAAB melibatkan kawasan Gemencheh, Seremban, Port Dickson, Jelebu, Tampin, Gemas, Rembau, Jempol, Kuala Pilah dan Senawang.

"Melalui skim pembiayaan jangka pendek NRW, PAAB juga telah meluluskan sebanyak RM24.35 juta bagi kerja-kerja penggantian meter, pembelian peralatan pengesanan kebocoran, pembaikan 'fittings', kerja pengurusan tekanan, pembangunan sistem pemantauan dan sebagainya," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!