Kes saman Hannah Yeoh tangguh, Musa dan peguam tidak hadir
KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis menangguhkan perbicaraan kes saman Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh terhadap Tan Sri Musa Hassan, selepas bekas Ketua Polis Negara itu termasuk peguamnya tidak hadir pada prosiding berkenaan.
Susulan itu, Pesuruhjaya Kehakiman, Arziah Mohamed Apandi menetapkan 9 Ogos depan untuk perbicaraan kes tersebut.
Dalam prosiding ini, Menteri Belia dan Sukan selaku plaintif hadir ke mahkamah bersama barisan peguam iaitu Datuk S Ambiga dan Razlan Hadri Zulkifli.
Ketika prosiding lalu, bekas Ketua Polis Negara selaku defendan diwakili peguam, Mohd Khairul Azam Abd Aziz dan Datuk Shaharuddin Ali.
Sementara itu, Mohd Khairul Azam ketika dihubungi wakil media menjelaskan pihaknya terlepas pandang tarikh perbicaraan ini.
“Kami akan tulis surat kepada mahkamah dan plaintif memaklumkan kesilapan ini,'' katanya ketika dihubungi media berhubung ketidakhadiran berkenaan.
Musa sepatutnya menyambung keterangan sebagai saksi pertama defendan dalam perbicaraan kes saman fitnah itu kerana didakwa membuat kenyataan berbaur fitnah semasa berucap dalam satu forum di Universiti Teknologi Mara (UiTM) pada 30 Januari 2020.
Pada 3 Mei 2021 lalu, Hakim Mahkamah Tinggi di sini membatalkan saman Hannah terhadap Musa, selepas mendapati plaintif gagal mematuhi arahan mahkamah berkaitan pemfailan beberapa dokumen praperbicaraan.
Bagaimanapun, Hannah yang juga Ahli Parlimen Segambut itu bebas untuk memfailkan semula saman.
Plaintif kemudiannya memfailkan semula saman pada hari yang sama, 3 Mei.
Saman itu adalah berhubung kenyataan Musa yang didakwa berbaur fitnah, semasa berucap dalam satu forum di UiTM pada 30 Januari 2020 lalu.
Musa kemudiannya memohon untuk membatalkan saman itu menerusi Tetuan Azam Aziz & Co pada 31 Mei tahun sama, antaranya atas alasan tindakan plaintif memfailkan tuntutan saman itu adalah suatu yang memalukan, serta penyalahgunaan proses mahkamah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!