[VIDEO] Mangga King Terengganu setanding Harum Manis Perlis

A
A
A

SETIU - Harum Manis Terengganu yang dijenamakan sebagai Mangga King MA128 mempunyai potensi sebagai tanaman bernilai tinggi yang boleh dikomersialkan secara lebih meluas.

Pengarah Pertanian Terengganu, Datuk Zulkepli Amin Mat Jusoh berkata, ia berdasarkan kesesuaian tanaman yang diukur daripada kesuburan pokok, berbuah lebat dan nilai kemanisan buah mencecah 23 peratus Brix.

Pegawai Pertanian Pusat Pertanian Rhu Tapai, Nor Hasliza Abdul Wahab menunjukkan buah Manga King MA128 yang sudah matang dan boleh dimakan.
Pegawai Pertanian Pusat Pertanian Rhu Tapai, Nor Hasliza Abdul Wahab menunjukkan buah Manga King MA128 yang sudah matang dan boleh dimakan.

Menurutnya, buah yang sinonim dengan negeri Perlis itu mula ditanam di Terengganu sejak 2016 dan sepanjang tempoh itu, hasil penyelidikan mendapati ia hidup subur dan mengeluarkan hasil sepanjang tahun di atas tanah bris atau tanah berpasir.

Zulkepli menunjukkan buah Mangga King yang sudah matang dan boleh dipetik di Pusat Pertanian Rhu Tapai, Setiu.
Zulkepli menunjukkan buah Mangga King yang sudah matang dan boleh dipetik di Pusat Pertanian Rhu Tapai, Setiu.

"Sebenarnya tiada beza antara Harum Manis Terengganu dengan Harum Manis Perlis kerana ia daripada jenis pokok yang sama cuma ditanam di kawasan yang berbeza dengan jenis tanah yang berlainan.

"Di Terengganu, kita telah mengenal pasti kawasan tanah bris yang banyak terdapat di Setiu dan sesuai dengan tanaman ini. Dengan adanya teknologi pengairan dan pembajaan yang betul insya-ALLAH, mangga ini boleh berbunga sepanjang tahun," katanya ketika ditemui pemberita di sini pada Rabu.

Zulkepli berkata, setakat ini terdapat 2.6 hektar tanah ditanam dengan Mangga King berusia lingkungan lima hingga tujuh tahun di stesen pemerhatian Mangga King di Pusat Pertanian Rhu Tapai yang menjadi pusat rujukan kepada semua peserta tanaman ini.

Artikel Berkaitan:

"Selain di Setiu, kita ada sebuah lagi stesen tanaman Mangga King untuk penyelidikan iaitu di kawasan tanah mineral dekat Hulu Terengganu (0.8 hektar). Kita dapati pokok yang ditanam di atas tanah mineral hidup subur namun tidak berbuah.

"Berbeza dengan pokok yang ditanam di atas tanah bris kerana ia sentiasa mengeluarkan hasil sepanjang tahun," ujarnya.

Beliau berkata, terdapat hampir 70,000 hektar keluasan tanah bris di Terengganu dengan 24,000 hektar daripadanya berada di daerah Setiu.

Zulkepli bersama kakitangan Jabatan Pertanian Negeri Terengganu menunjukkan hasil tanaman Mangga King MA128 di stesen pemerhatian Mangga King dekat Pusat Pertanian Rhu Tapai, Setiu.
Zulkepli bersama kakitangan Jabatan Pertanian Negeri Terengganu menunjukkan hasil tanaman Mangga King MA128 di stesen pemerhatian Mangga King dekat Pusat Pertanian Rhu Tapai, Setiu.

Katanya, selain Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM), pihaknya juga membuka kepada pengusaha untuk menyewa tanah kita sekitar 4 hektar seorang untuk ditanam dengan Mangga King.

"Semua daerah yang mempunyai tanah bris digalakkan untuk mengusahakan tanaman itu bagi memenuhi keperluan mangga bagi pasaran tempatan.

"Amat rugi jika kita tidak manfaatkan tanah bris ini dengan tanaman mangga kerana berdasarkan Nisbah Sara Diri (SSR) rakyat di Malaysia, 95 peratus mangga diimport dari luar terutama India, Pakistan, Indonesia, Filipina dan Thailand.

"Disebabkan SSR kita sangat rendah, saya mengesyorkan supaya Terengganu juga menjadi pengeluar mangga sebagai satu peluang untuk rakyat negeri ini tarik pembeli-pembeli tempatan.

"Ia juga adalah salah satu usaha untuk Terengganu mendekatkan julat perbezaan supaya rakyat Malaysia makan buah-buahan tempatan," ujarnya.

Menurut Zulkepli, setiap pokok Mangga King mampu menghasilkan lebih 200 biji buah dengan ukuran berat antara 350 hingga 700 gram sebiji.

Katanya, proses penghasilan buah Mangga King memakan masa selama 56 hari dengan purata setiap pokok mengeluarkan hasil 100kg buah yang dijual pada harga RM25 sekilogram.

"Penjagaan pokok Mangga King tidak rumit, ia perlukan kepada penggunaan teknologi bagi memastikan setiap buah yang dihasilkan mencapai gred A.

"Kita juga perlu tahu tempoh matang bagi tuaian pertama buah itu dan pengendaliannya tidak boleh dilakukan secara kasar.

"Selain itu, kaedah pemeraman juga perlu dilakukan dengan betul kerana cara yang salah tidak akan menghasilkan mangga yang harum dan manis," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!