Tuntut kerusi Parlimen, DUN: BN Kedah diminta muhasabah diri

Jin Hao
Jin Hao
A
A
A

ALOR SETAR - Angkatan Muda Keadilan (AMK) Alor Setar meminta Barisan Nasional (BN) Kedah agar muhasabah diri sebelum menuntut kerusi Parlimen Alor Setar dan satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam parlimen tersebut pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16.

Ketuanya, Tan Jin Hao berkata, berdasarkan situasi hari ini, Parlimen Alor Setar harus menjadi kerusi yang perlu ditandingi calon daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Menurutnya, pada PRU15, jumlah undi diperoleh calon PKR, Ooi Tze Min yang mewakili Pakatan Harapan (PH) adalah kedua tertinggi sebanyak 27,555 undi berbanding dengan calon BN, Tan Chee Hiong yang hanya mendapat 8,930 undi.

"AMK Alor Setar mengambil perhatian kenyataan yang dikeluarkan oleh Pengerusi BN Kedah, Datuk Seri Diraja Mahdzir Khalid berkaitan percaturan Parlimen Alor Setar untuk diberikan kembali kepada BN.

"BN Kedah seharusnya muhasabah diri dan melakukan 'bedah siasat' melihat penolakan rakyat Kedah.

"Bukan itu sahaja, penyokong-penyokong BN beralih arah memberi sokongan undi kepada calon-calon Perikatan Nasional (PN) sudah menjadi satu fenomena politik hari ini," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Jelasnya, bagi permintaan satu kerusi DUN di bawah Parlimen Alor Setar pula, dari segi prestasi untuk undian sejak tahun 2018 dan 2022, calon BN mendapat kedudukan ketiga berdasarkan sudut sokongan pengundi.

Menurutnya, pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lepas di bawah perbincangan rundingan kerusi antara BN dan PH, kedua-dua pihak telah sepakat dengan rundingan kerusi yang memberi kelebihan kepada BN dengan pembahagian 18 kerusi dimiliki gabungan pari itu.

Artikel Berkaitan:

"Manakala PH memiliki 18 kerusi dan dibahagikan kepada tiga parti komponen iaitu PKR, Amanah dan DAP.

"Berbalik pada keputusan PRN lepas, BN tewas di semua 18 kerusi DUN, sebaliknya PH daripada 18 kerusi yang bertanding berjaya memenangi tiga kerusi dan menjadi suara wakil pembangkang di negeri ini," ujarnya.

Pada Sabtu lalu, media melaporkan Mahdzir berkata, usul menuntut Parlimen Alor Setar kembali ditandingi parti itu tidak akan membawa perpecahan dalam Kerajaan Perpaduan, sebaliknya akan memperkukuh BN menjelang PRU16.

Menurutnya, UMNO mempunyai hak menuntut kerusi Parlimen itu, termasuk satu kerusi DUN, walaupun kawasan berkenaan pernah dimenangi PH pada PRU14, namun dirampas PN pada PRU15.

Pada PRU15, kerusi Parlimen Alor Setar dimenangi calon PN, Afnan Hamimi Taib Azamuddeen dengan undian sebanyak 37,486 undi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!