KDNK nominal Malaysia bagi 2023 berjumlah RM1.8 trilion

Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin
Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) nominal Malaysia bagi 2023 berjumlah RM1.8 trilion, kata Jabatan Perangkaan Malaysia.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, pertumbuhan menyederhana kepada 1.6 peratus daripada angka dua digit pada 15.9 peratus bagi 2022.

Beliau berkata, walaupun prestasi menyederhana, ekonomi kekal berdaya tahan terutama melalui perbelanjaan penggunaan akhir swasta yang meningkat sebanyak 6.7 peratus.

"Pertumbuhan ini didorong oleh penambahbaikan sedia ada dalam pekerjaan dan upah melalui pelaksanaan gaji minimum baharu sebanyak RM1,500 bermula Mei 2023,” katanya dalam kenyataan media KDNK Kaedah Pendapatan 2023 yang dikeluarkan pada Khamis.

Statistik pendapatan yang dijana daripada pengeluaran dalam ekonomi merangkumi tiga komponen utama iaitu pampasan pekerja, lebihan kendalian kasar dan cukai tolak subsidi ke atas pengeluaran dan import (cukai bersih).

Menjelaskan selanjutnya, Mohd Uzir berkata, susulan penambahbaikan dalam pasaran buruh, pampasan pekerja merekodkan pertumbuhan kukuh 4.2 peratus manakala lebihan kendalian kasar turun 1.8 peratus.

Prestasi agihan pendapatan itu menunjukkan peralihan ke arah sumbangan pampasan pekerja lebih baik iaitu 33.1 peratus berbanding 32.3 peratus pada 2022.

"Namun begitu, lebihan kendalian kasar masih menyumbang dengan ketara kepada KDNK pada 64.8 peratus walaupun 2.3 peratus lebih rendah daripada tahun sebelumnya. Komponen selebihnya adalah cukai bersih yang menyumbang sebanyak 2.1 peratus,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Memperincikan prestasi sektoral, beliau berkata, peningkatan komponen pampasan pekerja yang merangkumi saraan diterima oleh pekerja untuk tenaga kerja mereka, didorong oleh sektor perkhidmatan, pembuatan dan pembinaan.

"Pampasan pekerja dalam sektor perkhidmatan tumbuh 4.3 peratus, disokong oleh pertumbuhan dalam semua subsektor terutamanya perdagangan borong dan runcit, makanan dan minuman serta penginapan.

"Bagi sektor pembuatan, pampasan pekerja mencatat pertumbuhan 3.3 peratus, disumbangkan oleh penyederhanaan dalam produk elektrik, elektronik dan optik,” katanya.

Mohd Uzir berkata penurunan dalam lebihan kendalian kasar dipengaruhi terutamanya oleh kemerosotan mendadak dalam sektor perlombongan dan pengkuarian (-12.1 peratus), pertanian (-13.2 peratus) dan pembuatan (-5.6 peratus).

Kejatuhan harga komoditi pada 2023 telah menjejaskan keuntungan merentasi sektor-sektor ini, sekali gus menyumbang kepada penurunan ketara keseluruhan lebihan kendalian kasar.

"Namun, penyusutan ini sebahagiannya dikurangkan dengan pertubumbuhan dalam sektor perkhidmatan dan pembinaan masing-masing pada 5.3 peratus dan 1.3 peratus,” katanya.

Mohd Uzir berkata, cukai bersih, komponen yang mewakili sumber pendapatan kepada kerajaan, menunjukkan pertumbuhan memberangsangkan iaitu 242.0 peratus atau RM37.7 bilion pada 2023, disokong oleh hasil cukai yang lebih tinggi berbanding penurunan subsidi.

Dalam konteks perbandingan antarabangsa, beliau berkata komposisi pampasan pekerja di rantau Asia Tenggara adalah lebih rendah, menyumbang kurang 40 peratus daripada KDNK manakala sumbangan lebihan kendalian kasar pula lebih besar.

"Berbanding dengan ekonomi maju seperti Amerika Syarikat, Jerman dan Kanada, pampasan pekerja ini menyumbang lebih besar daripada lebihan kendalian kasar masing-masing pada 53.1 peratus, 52.4 peratus dan 51.1 peratus.

"Cukai bersih membentuk sumbangan kecil dalam KDNK di negara-negara terpilih dengan Malaysia mencatatkan sumbangan terendah sebanyak 2.1 peratus yang menggambarkan perbezaan dasar fiskal antara negara-negara,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!