Bank Rakyat rai 17 pemenang, hadiah lebih RM1.3 juta
SHAH ALAM - Bank Rakyat menerusi empat anjuran kempen bermula hujung tahun lalu hingga Jun tahun ini meraikan 17 pemenang utama dengan hadiah keseluruhan sebanyak lebih RM1.3 juta.
Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Datuk Dr Mohammad Hanis Osman berkata, program merangkumi kempen ‘Tulus Ikhlas, Penuhi Impian, Cabutan Setengah Tahun Akaun Pelaburan-i Rizq Plus dan Emas 2 Kilo itu merupakan inisiatif bagi menghargai kesetiaan pelanggan yang terus menyokong perkhidmatan bank tersebut saban tahun.
“Sejak tujuh dekad yang lalu, Bank Rakyat sentiasa komited dalam melaksanakan pelbagai inisiatif untuk mengukuhkan jalinan antara bank dengan pelanggan menerusi nilai tambah baharu serta ganjaran istimewa menerusi kempen yang dianjurkan khusus buat pelanggan,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Dalam pada itu, Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak berkata, pihaknya sentiasa komited untuk terus berada di barisan hadapan dalam menyediakan perkhidmatan perbankan cemerlang dan penyelesaian kewangan yang inovatif memandangkan bank menghampiri ulang tahunnya ke-70 pada 28 September ini.
“Komitmen bank terhadap transformasi dan kecemerlangan dapat dilihat melalui pelbagai produk dan perkhidmatan yang ditawarkan.
“Daripada produk pembiayaan kepada simpanan dan pelaburan, serta produk perancangan kewangan yang komprehensif, kami berusaha untuk memenuhi keperluan dan aspirasi pelbagai spektrum pelanggan kami,” ujarnya.
Menurutnya, Bank Rakyat juga sentiasa berinovasi untuk memastikan tawaran mereka kekal relevan dan bermanfaat untuk pelanggan.
“Perkhidmatan perbankan kami direka khusus untuk memberikan kemudahan dan kecekapan, memastikan keperluan perbankan harian anda dipenuhi dengan pantas dan mudah,” menurut beliau.
Bank Rakyat sempena sambutan Ramadan dan Syawal lalu, menganjurkan kempen Tulus Ikhlas bermula 12 Mac hingga 31 Mei 2024 di mana pelanggan berpeluang memenangi pelbagai hadiah lumayan dengan hadiah keseluruhan berjumlah lebih RM400,000.
Sementara itu, Bank Rakyat menganjurkan kempen Penuhi Impian bermula 15 Disember tahun lalu hingga 29 Februari tahun ini bagi membantu mencapai impian peribadi pelanggan.
Kempen yang bertepatan dengan aspirasi Keluarga Madani itu, memenuhi hasrat 10 orang pelanggan dengan jumlah kos keseluruhan sebanyak RM177,000.
Di samping itu, Bank Rakyat turut mengumumkan pemenang bagi Cabutan Setengah Tahun Akaun Pelaburan-i Rizq Plus yang mana seramai 2,961 pemenang telah terpilih merangkumi empat pemenang bagi hadiah berjumlah RM100,000 dan seorang pemenang RM1 juta.
Kempen Emas 2 Kilo turut dianjurkan bermula Oktober tahun lalu hingga Februari tahun ini sebagai tanda penghargaan kepada pelanggan yang sentiasa menyokong perniagaan Ar-Rahnu, sekali gus menggalakkan lebih ramai pelanggan menggunakan khidmat Pajak Gadai-i Ar-Rahnu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!