Motosikal bertembung, maut tercampak dalam lubang takungan air
PENAMPANG - Seorang lelaki maut manakala seorang lagi cedera selepas motosikal masing-masing dipercayai berlanggar dalam kejadian di Kilometer 20, Jalan Papar Lama, Putatan di sini pada awal pagi Khamis.
Dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi itu, mangsa berusia 19 tahun ditemukan dalam lubang takungan air pembahagi jalan dan disahkan meninggal dunia di lokasi manakala penunggang motosikal kedua pula mengalami kecederaan pada anggota badan.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintenden Sammy Newton berkata, kemalangan melibatkan dua motosikal yang datang dari arah Penampang menuju ke Papar melalui Jalan Papar Lama.
"Dalam kejadian itu dipercayai berlaku perlanggaran antara kedua-dua motosikal dan menyebabkan penunggang pertama maut di lokasi. Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) untuk tujuan bedah siasat.
"Penunggang motosikal kedua pula yang mengalami kecederaan di bahagian mata, muka dan tangan turut dihantar ke hospital sama untuk rawatan lanjut," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Sammy berkata, pihaknya masih menyiasat punca sebenar kemalangan di bawan Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Oleh itu, orang ramai yang menyaksikan kejadian diminta tampil memberikan maklumat untuk membantu siasatan.
"Maklumat boleh disalurkan kepada pegawai penyiasat, Inspektor Saparia Ladoni di talian 019-8095133.
"Pihak polis juga menasihatkan orang ramai tidak tularkan sebarang imej atau video kejadian di media sosial bagi menjaga sensitiviti keluarga mangsa," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!