Pemulihan bekalan air di Selangor capai 96 peratus

Khidmat lori tangki disediakan di kawasan terjejas. Gambar hiasan
Khidmat lori tangki disediakan di kawasan terjejas. Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Status pemulihan bekalan air tujuh wilayah di Selangor dan Kuala Lumpur telah mencapai 96 peratus setakat jam 3 petang, Khamis.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam satu kenyataan memaklumkan, beberapa kawasan yang masih belum menerima bekalan meliputi daerah Klang, Shah Alam dan Petaling.

Menurut kenyataan itu, bekalan air dijangka pulih sepenuhnya selewat-lewatnya pada 8 pagi, Jumaat.

"Tempoh masa pemulihan bekalan air di kawasan terlibat adalah berbeza bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan air pada sistem agihan bekalan air.

"Air Selangor terus menggerakkan lori-lori tangki air ke kawasan-kawasan yang masih terjejas dengan memberikan keutamaan kepada premis-premis kritikal seperti hospital, klinik, pusat dialisis dan upacara pengebumian," katanya menerusi kemas kini di Facebook.

Menerusi kenyataan sama, Air Selangor menyarankan pengguna yang baru menerima bekalan untuk membiarkan pili air mengalir sehingga jernih sebelum digunakan untuk kegunaan harian.

Pada masa sama, Air Selangor mengingatkan pengguna yang telah mendapat bekalan agar dapat menggunakan air secara berhemat bagi memastikan proses pemulihan di kawasan yang masih terjejas berjalan lancar.

Para pengguna boleh mendapatkan maklumat berhubung gangguan bekalan air tidak berjadual ini dari semasa ke semasa, daripada saluran komunikasi rasmi https://waterupdates.airselangor.com/.

Artikel Berkaitan:

Maklumat juga boleh diketahui daripada saluran komunikasi rasmi alternatif seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan X atau hubungi Air Selangor di talian 15300 atau layari https://www.airselangor.com/.

Gangguan air sekitar Selangor dan Kuala Lumpur susulan henti tugas empat Loji Rawatan Air (LRA) iaitu Rantau Panjang, Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1), SSP2 dan LRA SSP3 berikutan insiden pencemaran bau di Sungai Kundang dan Sungai Sembah pada Selasa.

LRA terlibat mula beroperasi kembali secara berperingkat pada hari sama selepas bacaan pencemaran bau mencatatkan 0 ton.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!