'Tiada siapa nafikan Pulau Pinang pernah jadi sebahagian dari Kedah'

Kon Yeow
Kon Yeow
A
A
A

GEORGE TOWN - Tidak ada keperluan untuk kerajaan Kedah membuat kajian penyelidikan sejarah bagi melihat fakta sebenar mengenai hubungan negeri itu dan Pulau Pinang.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, fakta sejarah mengenai perkara itu sudah diketahui malah tiada siapa pernah menafikan bahawa Pulau Pinang pernah menjadi sebahagian daripada Kedah suatu ketika dahulu.

“Kami tidak menafikan bahawa Pulau Pinang pernah menjadi sebahagian daripada Kedah suatu ketika dahulu.

“Sila terima hakikat Pulau Pinang adalah sebuah negeri yang bebas dan kedudukannya dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.

“Tidak perlu anda pergi ke seluruh dunia untuk mengumpulkan 20,000 dokumen mengenai fakta sejarah yang terkenal ini,” katanya memetik laporan Buletin Mutiara.

Kon Yeow berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (Rehda) Pulau Pinang pada Rabu.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan kerajaan Kedah akan membentangkan dapatan kajian pasukan penyelidik sejarah ke atas ribuan dokumen diperoleh di luar negara bagi melihat fakta sebenar mengenai hubungan Kedah dan Pulau Pinang.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, dapatan kajian yang akan menentukan hala tuju baharu antara Kedah dan Pulau Pinang itu termasuklah berkaitan tuntutan pajakan dan pampasan air akan diumumkan pada Disember depan.

Artikel Berkaitan:

Kata beliau, pasukan penyelidik terlibat sedang meneliti dokumen diperoleh di luar negara termasuklah England, Thailand, Belanda dan Indonesia.

"Dapat banyak dokumen. Saya difahamkan 20,000 dokumen sejarah, kebanyakannya mengenai laporan daripada negeri-negeri selat kepada kerajaan British pada masa itu.

"Saya pun sudah teliti dah sikit dokumen-dokumen yang berkaitan yang ada di British Library dan British National Archieve yang akan menjadi sebahagian daripada rujukan kepada kajian-kajian sedang dilakukan oleh Kedah," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!