'Ada peserta capai peningkatan jualan 718 peratus'
[DIIKEMAS KINI] PENINGKATAN jualan sehingga 718 peratus, hasil bimbingan diperoleh dalam Program Rintis GrowBiz 2021/2022 kelolaan SME Corporation Malaysia (SME Corp), menjadi antara pencapaian yang direkodkan peserta program tersebut, sekali gus membuktikan impak positif pelaksanaan inisiatif itu.
Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp, Rizal Nainy berkata, berdasarkan kaji selidik selepas enam bulan tamat menyertai Program GrowBiz, kesemua 50 peserta menunjukkan peningkatan jualan sehingga ada yang berjaya mencecah rekod tersebut.
Selain itu menurutnya, sebanyak 66 peratus peserta juga telah berjaya menaik taraf perniagaan daripada mikro kepada kecil.
"Sebanyak 58 peratus peserta menambah bilangan pekerja yang berjaya mewujudkan 139 pekerjaan baharu.
"Terdapat juga beberapa peserta yang telah menambah bilangan premis dan rakan niaga serta berjaya mengeksport produk atau perkhidmatan ke China, Brunei, Vietnam dan Filipina," katanya sempena Majlis Graduasi Program GrowBiz 2023/2024 di sini pada Khamis.
Majlis yang meraikan 110 usahawan mikro itu disempurnakan oleh Ketua Setiausaha, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Seri Suriani Ahmad.
GrowBiz merupakan inisiatif di bawah Program Pembangunan Perniagaan UsahawanMikro (BizME) yang dilaksanakan oleh SME Corp Malaysia, agensi di bawah KUSKOP.
Program tersebut memberi bimbingan kepada usahawan dalam menaik taraf perniagaan mereka daripada perniagaan bersaiz mikro kepada kecil serta meningkatkan pengetahuan, kecekapan dan produktiviti perniagaan, merangkumi elemen latihan, coaching dan pemantauan.
GrowBiz2023/2024 dilaksanakan oleh rakan pelaksana, Entrepreneur Culture Incorporated Sdn Bhd (ECI) dengan sokongan Bank Simpanan Nasional (BSN), Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) Nasional dan Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC) sebagai rakan strategik.
Sementara itu, Suriani ketika berucap pada majlis tersebut, menekankan agar usahawan bersikap responsif terhadap perubahan polisi dan landskap perniagaan terkini, termasuk kepentingan transformasi digital dan amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) serta pengurusan kewangan dan risiko.
"Usahawan juga digalakkan untuk merebut peluang pasaran eksport serta memanfaat program dan inisiatif yang disediakan oleh kerajaan, merangkumi 275 program ditawarkan pelbagai kementerian dan agensi kepada perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) dengan peruntukan RM15.1 bilion yang akan memanfaatkan 479,758 PMKS.
"Ini membuktikan komitmen kerajaan dalam menyediakan ekosistem yang kondusif untuk pembangunan PMKS, termasuklah melalui Program GrowBiz," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!