Kod QR sempadan Malaysia-Singapura kurangkan tempoh waktu menunggu
KUALA LUMPUR - Pelaksanaan Kod QR di sempadan Malaysia-Singapura terbukti berjaya mencapai objektif mengurangkan masa menunggu, di samping mempercepatkan proses imigresen di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB).
Kementerian Dalam Negeri (KDN) berkata, sepanjang dua bulan pelaksanaan Proof of Concept bagi penggunaan kod QR tersebut, waktu menunggu bagi pemeriksaan 30 penumpang bas pada waktu puncak didapati telah dipendekkan kepada 15 minit berbanding 120 minit di BSI dan 90 minit di KSAB.
Dalam Jawapan Lisan Dewan Negara yang dimuat naik di laman sesawang Parlimen hari ini kementerian itu berkata bagi pengguna motosikal pula, waktu menunggu dipendekkan kepada 30 minit bagi pemeriksaan 30 orang berbanding 40 minit di BSI dan 45 minit di KSAB.
"Walaupun aplikasi kod QR yang diguna pakai iaitu MyTrip dan MyRentas memudahkan pengembara dalam proses pelepasan imigresen, namun aspek keselamatan tidak dikompromi. Inisiatif ini telah dibangunkan dengan ciri-ciri keselamatan.
"Pelawat yang berada di dalam Senarai Syak tidak dibenarkan untuk mendaftar aplikasi ini,” menurut kenyataan itu, yang dikeluarkan bagi bagi menjawab soalan Senator Datuk Abdul Halim Suleiman yang ingin tahu keberkesanan penggunaan kod QR berkenaan ketika tempoh percubaan.
Pelawat yang berada dalam senarai itu akan diberikan notis untuk membuat pemeriksaan di kaunter.
Pelaksanaan Kod QR di BSI dan KSAB buat masa ini adalah secara Proof of Concept selama tiga bulan bermula dari 1 Jun lepas hingga 31 Ogos ini bagi pengguna motosikal dan penumpang bas sebelum ia diperluaskan kepada pengguna kenderaan persendirian, rakyat Singapura dan warganegara lain.
Sementara itu menjawab soalan Datuk Mustafa Musa mengenai statistik kemasukan pelawat dari negara China dan India apabila dilaksanakan pelan liberalisasi visa (PLV), KDN berkata 1,046,231 pelancong China dan 508,857 pelancong India telah memanfaatkan kemudahan tersebut setakat 7 Julai lepas.
KDN berkata, ia menjadikan jumlah keseluruhan kemasukan pelancong yang menggunakan kemudahan itu adalah 1,555,058 individu.
Melalui PLV, warganegara China dan India diberi kemudahan pengecualian visa bagi tempoh 30 hari hingga 31 Dis tahun ini.
Kemudahan itu bertujuan menjana hasil pendapatan negara dan dilaksanakan dengan penambahbaikan kemudahan imigresen sedia ada yang telah dinikmati pengembara ke Malaysia, termasuk dari Eropah, Asia Tenggara, Timur Tengah dan Asia Barat. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!