Tingkat daya saing koperasi antara fokus Kongres Koperasi Kebangsaan 2024
KUALA LUMPUR – Tingkat daya saing perniagaan koperasi antara empat fokus utama yang diberi tumpuan pada Kongres Koperasi Kebangsaan 2024 kali ke-3 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur bermula Khamis.
Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd (Angkasa), Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah berkata, tiga fokus lain termasuklah penambahbaikan akta peraturan dan tata kelola, pengukuhan pendidikan dan modal insan serta memperkasa jati diri dan identiti.
Menurutnya, resolusi hasil pembentangan pada kongres berkenaan bakal diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang akan hadir esok.
‘Kita mahu pengiktirafan gerakan koperasi sebagai entiti perniagaan supaya koperasi menikmati insentif seperti yang diberi kerajaan kepada industri kecil dan sederhana (IKS).
“Sebagai contoh pihak industri kecil dan sederhana (IKS) menerima bantuan geran perniagaan RM500,000 berbanding koperasi hanya memperolehi geran RM300,000.
“Sekarang ini kita lihat (bantuan) agak tidak seimbang, saya tidak kata tidak adil tetapi berdasarkan jumlah ahli koperasi di Malaysia, seramai 7.2 juta individu iaitu lebih daripada 20 peratus rakyat di negara ini adalah ahli koperasi,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Kongres Koperasi Kebangsaan 2024 pada Khamis.
Terdahulu di dalam ucapannya, Abdul Fattah berkata, berdasarkan statistik Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) sehingga Disember 2023, perolehan koperasi merekodkan RM64.6 bilion melepasi sasaran kerajaan pada 2025 sebanyak RM60 bilion.
“Sehingga kini terdapat 15,809 buah koperasi dengan aset RM165.9 bilion direkodkan menunjukkan prestasi koperasi adalah pada tahap membanggakan.
“Walaupun hakikatnya kita telah terperangkap dalam kecelaruan ekonomi, kos sara hidup yang tinggi, inflasi, keuntungan rendah dan kurang nilai daya saing, namun pencapaian perolehan gerakan koperasi melebihi sasaran yang ditetapkan,” katanya.
Tambahnya, selari dengan sasaran Ekonomi Madani, Angkasa tekad untuk membawa gerakan koperasi negara untuk menjadi Peneraju Ekonomi Asia.
“Bagi mencapai hasrat ini, struktur ekonomi perlu dirombak. Antara isu yang membelenggu sistem ekonomi termasuklah masalah sektor perindustrian yang menguncup sebelum masanya.
“Sumber modal terhad juga menyebabkan koperasi tidak dapat memenuhi permintaan yang meningkat,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!