Perak setuju GLC negeri wujudkan taska masing-masing
IPOH - Kerajaan negeri Perak bersetuju supaya semua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri mewujudkan taman asuhan kanak-kanak (Taska) di premis masing-masing khusus untuk kakitangan mereka.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, ketika ini hanya terdapat satu sahaja taska yang diwujudkan untuk kakitangan kerajaan negeri menghantar anak masing-masing iaitu di Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Perak.
Menurutnya, kewujudan taska di premis GLC tersebut akan dilaksanakan mengikut peraturan ditetapkan dan berdaftar dengan pengasuh terlatih serta mempunyai kelayakan berkaitan pendidikan awal kanak-kanak.
"Kita sudah ada pun satu taska di pejabat SUK Perak untuk kakitangan SUK sedangkan kita ada GLC contoh kita ada LAP (Lembaga Air Perak) yang ada kakitangan wanita yang ramai, kita ada PKNP (Perbadanan Kemajuan Negeri Perak), Perak SADC (Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak).
"Kalau setiap GLC ini menubuhkan taska masing-masing, sudah tentu kakitangan wanita ini dapat menumpukan perhatian kepada pekerjaan hariannya dengan selesa sekali gus meningkatkan produktiviti. Sebab itu kerajaan negeri pada dasarnya bersetuju sekurang-kurangnya GLC memulakannya," katanya kepada pemberita selepas program Townhall Wanita Perak di Pusat Konvensyen Casuarina, Bandar Meru Raya di sini pada Khamis.
Hadir sama pada program tersebut, Exco Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed.
Sementara itu, Saarani berkata, pihaknya juga bersetuju untuk menjadikan sebuah rumah banglo milik Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (SSI) di Taman SSI dijadikan sebagai Pusat Pembangunan Wanita Perak.
Menurutnya, rumah tersebut terdahulu pernah dijadikan sebagai rumah kebajikan kendalian pertubuhan bukan kerajaan (NGO) namun kini terbiar dan ditinggalkan.
"Kerana itu apabila ada permintaan daripada Wanita Perak (Sekretariat Pembangunan Wanita dan Masyarakat Negeri Perak) untuk mewujudkan satu kawasan yang sesuai, kita lihat itu antaranya (cadangan).
"Kita cuma perlu ubah suai kalau ada kerosakan dan bersihkan kawasan. Maka saya percaya dengan keanggotaan Wanita Perak, tempat itu sesuai (dijadikan Pusat Pembangunan Wanita Perak).
Saarani berkata, rumah tersebut boleh terus digunakan selepas kerja-kerja pembersihan serta pengubahsuaian selesai dilaksanakan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!