Belon udara panas dinaiki pengamal media tersasar ketika mendarat
NIBONG TEBAL - Tersasar mendarat di kawasan semak setelah ditiup angin dan berakhir di atas jalan raya adalah antara detik cemas dilalui tujuh pengamal media yang menaiki sebuah belon udara panas di sini, hari ini.
Bagaimanapun detik berkenaan tetap menjadi pengalaman menarik untuk pengamal media yang membuat liputan penerbangan belon panas itu yang menjadi acara pengenalan sebelum permulaan Fiesta Belon Udara Panas Pulau Pinang 9 dan 10 Februari ini.
Exco Pelancongan, Warisan, Kebudayaan dan Kesenian Pulau Pinang, Yeoh Soon Hin turut bersama para media di dalam penerbangan belon udara panas itu yang dikendalikan oleh warga Belanda, Jonas Van Doorsselaere, 32.
Ekoran keadaan angin, belon berkenaan pada mulanya mendarat di satu kawasan semak sebelum Doorsselaere menerbangkannya semula dan mengambil keputusan mendaratkannya di tengah-tengah jalan raya yang berdekatan.
Para petugas MyBalloon Adventure mengambil langkah menghentikan lalu lintas sebelum belon berkenaan didaratkan dan dikemaskan dalam masa kira-kira 20 minit.
Sementara itu, mengulas mengenai perkara itu, pengarah MyBalloon Adventure Izzati Khairuddin berkata, pendaratan belon udara panas biasanya berlaku secara rawak bergantung kepada faktor angin.
"Pendaratan ini biasa berlaku kerana pendaratan boleh berlaku di mana-mana tempat, namun keselamatan penumpang tetap menjadi keutamaan kita," katanya.
Sebelum itu, Soon Hin bersama-sama Adun Jawi, H’ng Mooi Lye dan 15 orang pengamal media menaiki tiga belon udara panas yang disediakan dalam acara pengenalan itu untuk menikmati pemandangan sekitar Jawi dari ketinggian kira-kira 600 meter selama 30 minit.
Berkongsi pengalaman menaiki belon udara panas itu, jurufoto NSTP, Mohd Danial Saad, 34, berkata ia adalah satu pengalaman yang berharga apabila beliau berpeluang menaiki belon udara panas itu dan pada masa yang sama mengetahui cara-cara pengendaliannya.
Bagi wartawan Makkal Osai K Murugaiyah, 57, pula menyifatkan beliau sebagai seorang yang bertuah kerana berpeluang merasai pengalaman mendarat di tengah jalan raya.
Fiesta Belon Udara Panas Pulau Pinang akan diadakan di Padang Polo, George Town dan akan menampilkan 15 belon udara panas dari dalam dan luar negeri. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!