Keris Tok Chu, sampir Kuseriwa diisytihar warisan Kelantan

Majlis Pengisytiharan Keris Tok Chu dan sampir Kuseriwa disempurnakan oleh Tengku Muhammad Fakhry (kanan).
Majlis Pengisytiharan Keris Tok Chu dan sampir Kuseriwa disempurnakan oleh Tengku Muhammad Fakhry (kanan).
A
A
A

KOTA BHARU - Keris Tok Chu dan sampir Kuseriwa diisytiharkan sebagai warisan Kelantan oleh Istana Kelantan, di sini, pada Khamis.

Pengisytirahan disempurnakan oleh Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra dalam satu majlis yang turut dihadiri oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud dan kenamaan-kenamaan negeri ini.

“Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, kita merasmikan Festival Keris dan Warisan Kelantan 2024 juga mengisytiharkan bahawa Keris Tok Chu serta sampir Kuseriwa sebagai warisan Kelantan,” titahnya pada Majlis Perasmian Festival Keris dan Warisan Kelantan serta Pengisytiharan Keris Tok Chu dan sampir Kuseriwa sebagai Warisan Kelantan, di Istana Balai Besar, di sini, pada Khamis.

Kira-kira 500 keris dan senjata Melayu dipamer dalam festival julung kali diadakan di Kelantan itu sempena kalendar Tahun Melawat Kelantan 2024 serta dimeriahkan lagi dengan perarakan dua gajah.

Tengku Muhammad Fakhry turut mencemar duli melawat dan menyaksikan pameran keris serta warisan Kelantan di dalam istana.

Tengku Muhammad Fakhry (dua dari kanan) diiringi Mohd Nassuruddin (empat dari kiri) melawat ke pameran keris di Istana Balai Besar di Kota Bharu.
Tengku Muhammad Fakhry (dua dari kanan) diiringi Mohd Nassuruddin (empat dari kiri) melawat ke pameran keris di Istana Balai Besar di Kota Bharu.

Selainnya, baginda turut minum petang bersama rakyat jelata di Padang Merdeka, di sini, sebelum berangkat meninggalkan majlis.

Keris Tok Chu diambil sempena karektor bilahnya iaitu besi sebatang yang berlekuk tanpa pamor manakala Kuseriwa pula seorang empu Diraja Kelantan pada zaman dahulu.

Artikel Berkaitan:

Keris Tok Chu juga dikatakan amat tajam sehingga tikaman senjata itu mampu menembusi tempayan.

Sementara itu, Exco Jawatankuasa Pelancongan Kebudayaan Kesenian dan Warisan, Datuk Kamaruddin Md Nor, berkata, pihaknya akan mendaftarkan hak cipta keris Tok Chu dan sampir Kuseriwa di Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) dalam tempoh terdekat.

“Kami akan melakukan dokumentasi lengkap berkait keris ini sebelum proses pendaftaran dibuat.

“Selainnya, Keris Tok Chu dan sampir Kuseriwa juga mewartakannya sebagai warisan Kelantan di Jabatan Warisan Negara,” katanya.

Tambah beliau, pengiktirafan tersebut memberi makna besar dalam usaha memulihara dan mengangkat martabat serta kesenian Melayu di negeri Kelantan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!