Azizulhasni imbas detik bertarung nyawa
MENJELANG detik bersejarah Sukan Olimpik 2024 membuka tirai secara rasmi di Paris awal pagi Sabtu, jaguh berbasikal trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang mengimbas insiden bertarung dengan nyawa sepanjang prosedur menjalani pembedahan jantung dua tahun lalu yang hampir menamatkan kariernya.
Pelumba berusia 36 tahun itu menyifatkan seusai pembedahan di sebuah hospital di Australia tersebut beliau mengalami satu perasaan yang amat berbeza dan hanya ALLAH sahaja Maha Mengetahui.
Malah Azizulhasni yang terkenal dengan julukan The Pocket Rocketman mendedahkan amat bersyukur dengan setiap nikmat yang dikecapi dan peristiwa tersebut banyak mengubah cara beliau berfikir.
"Selepas pulih daripada pembedahan dan peristiwa tersebut, saya bangkit setiap hari dengan rasa syukur tidak terperi. Apa jua yang akan saya hadapi di dalam hidup selepas itu mindset saya adalah 'i have nothing to lose,'" katanya menerusi catatan di Facebook pada Khamis.
Azizulhasni menjelaskan perlu menjalani pembedahan pembetulan pada jantungnya dalam keadaan yang dipanggil Anomalous Right Coronary Artery (ARCA) di Melbourne pada 22 April 2022 dan prosedur itu mengambil masa yang lama.
"Keesokan awal pagi saya hampir tersedar. Pada ketika itu saya masih tidak mampu untuk membuka kedua biji mata lagi, tetapi sudah dapat mendengar suara doktor dan jururawat di dalam bilik CCU (Unit Penjagaan Kritikal).
"Tidak lama kemudian keadaan menjadi lengang, mereka semua beredar," ujar pemenang pingat perak Sukan Olimpik Tokyo dalam acara keirin itu.
Beliau bagaimanapun enggan berputus asa dan sedaya upaya untuk melawan diri yang lemah dan perlahan-lahan cuba membuka mata untuk melihat keadaan diri.
"Saya terbujur kaku di atas katil dan dapat dilihat badan yang dipenuhi dengan pelbagai wayar. Saya seram, di hidung ada tiub, tengkuk ditebuk dan ada tiub. Begitu juga di perut, dada dan beberapa bahagian lain. Saya kelu," katanya.
Pelumba dari Terengganu itu kemudian melalui detik cemas apabila mempunyai masalah untuk bernafas yang diibaratkan seperti ikan yang dicampak ke darat.
"Rupa-rupanya ketika tidak sedar, saya bergantung sepenuhnya kepada tiub pernafasan yang dimasukkan ke dalam mulut terus ke saluran trachea. Apabila sedar saya tidak dapat bernafas melalui hidung apatah lagi melalui mulut.
"Seperti ikan yang dicampak ke darat, saya terkapai-kapai cuba untuk bernafas. Saya dengar mesin di sebelah mengeluarkan bunyi beep yang bising. Pada masa yang sama tangan saya secara refleks menggenggam dan menekan butang peranti yang saya sendiri tidak tahu kewujudannya di situ.
"Sepantas kilat datang jururawat dan doktor. Keadaan huru-hara dan saya rasa seperti nyawa di hujung tanduk. Mereka cuba berkomunikasi, tetapi saya di dalam survival mode.
"Mereka mengeluarkan tiub pernafasan dari salur kerongkong saya. Pada saat itu leganya hanya Allah yang tahu perasaannya macam mana. Saya menarik nafas dalam-dalam dan menghembus perlahan-lahan untuk beberapa ketika. Rasa seolah-olah baru mendapat nyawa kembali. Allahuakbar!," katanya.
Bagi temasya kali ini, Azizulhasni yang membuat penampilan kali kelima di Olimpik menjadi sandaran untuk meraih pingat emas pertama negara.
Acara berbasikal trek dijadual berlangsung di Velodrom de Saint-Quentin-en-Yvelines dari 5 hingga 11 Ogos.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!