Tiga maut nahas dua kenderaan
GERIK - [DIKEMASKINI] Tiga termasuk dua beradik perempuan maut sementara tiga kanak-kanak parah dalam nahas membabitkan dua kenderaan di Kilometer 73 Jalan Kuala Kangsar-Gerik-Pengkalan Hulu berhampiran Lawin, lewat malam tadi.
Dalam kejadian jam 12.15 malam itu, Mohd Azli Faizal Mansor, 33, yang bekerja sebagai kontraktor dan memandu kereta jenis Honda Accord secara sendirian, maut di tempat kejadian.
Dua lagi mangsa, Rozita Khayri, 33, dan adiknya, Rashidah, 29, yang menaiki pacuan empat roda jenis Mitsubishi meninggal dunia di Hospital Gerik.
Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Ismail Che Isa berkata, siasatan awal mendapati kereta dipandu Mohd Azli yang dalam perjalanan dari arah Ipoh ke Gerik hilang kawalan sebelum masuk ke laluan bertentangan.
Menurutnya, dalam masa sama sebuah pacuan empat roda dinaiki tujuh sekeluarga yang berada di laluan terbabit tidak sempat mengelak lalu berlaku pertembungan.
"Akibat kemalangan itu, pemandu kereta Honda Accord mengalami cedera parah di kepala dan disahkan maut di tempat kejadian.
"Seorang wanita yang duduk di bahagian penumpang hadapan pacuan empat roda turut parah dan meninggal dunia di wad kecemasan Hospital Gerik.
"Sekitar jam 6 pagi tadi, seorang lagi penumpang pacuan empat roda disahkan meninggal dunia selepas menerima rawatan di hospital sama," katanya.
Beliau berkata, ketika kejadian, tujuh sekeluarga berkenaan dalam perjalanan dari Kelantan ke Batu Kurau.
Katanya, mereka yang parah ialah anak lelaki Rozita berusia 1 tahun, dua lagi masing-masing berusia setahun dan 8 tahun merupakan anak Rashidah.
"Kesemua yang parah dirujuk ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk rawatan lanjut.
"Pemandu pacuan empat roda yang juga adik lelaki mangsa berusia 22 tahun hanya mengalami cedera ringan manakala seorang lagi anak Rashidah berusia 3 tahun yang duduk di bahagian belakang tidak mengalami kecederaan," katanya.
Ismail berkata, bedah siasat dijalankan pagi ini di Hospital Gerik dan siasatan lanjut dibuat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!