Liek Hou sudah sedia gegar Paris
JAGUH badminton para negara Cheah Liek Hou sudah bersedia untuk mempertahankan pingat emas acara perseorangan lelaki SU5 (kecacatan fizikal) di Sukan Paralimpik Paris 2024 berlangsung pada 28 Ogos hingga 8 September depan.
Malah, jurulatihnya Nova Armada berkata, pemain berusia 36 tahun itu kini berada pada prestasi terbaiknya untuk penampilan kedua di pentas berprestij dunia berkenaan.
“Liek Hou dalam keadaan terbaik dan sasaran yang diletakkan adalah emas oleh Majlis Sukan Negara (MSN). Saya lihat beliau bersedia untuk itu,” katanya kepada pada Khamis.
Nova berkata, seorang lagi wakil negara Muhammad Fareez Anuar juga berada pada tahap terbaik untuk memberikan saingan di Paralimpik Paris 2024 juga dalam acara sama.
Liek Hou muncul juara Kejohanan Empat Negara Para Antarabangsa 2024 di Glasgow, Scotland bulan lalu dijangka dapat meneruskan momentum kecemerlangannya untuk membutirkan emas di Paris.
Pemain berusia 36 tahun itu muncul pemenang emas sulung acara badminton para, selepas menundukkan pencabar utamanya dari Indonesia Anrimusthi Dheva pada perlawanan akhir edisi Tokyo 2020.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!