Pengarah syarikat ditahan eksploitasi remaja warga asing
IPOH - Seorang pengarah syarikat ditahan polis selepas disyaki mengeksploitasi seorang remaja lelaki warga asing menjadi buruh paksa di sebuah kilang kitar semula di Kawasan Perindustrian IGB Tasek di sini pada Khamis.
Remaja warganegara Myanmar berusia 16 tahun itu berjaya diselamatkan dalam serbuan Op Pintas Mega melibatkan pasukan Bahagian D7, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, Bahagian D3 Bukit Aman bersama Jabatan Tenaga Kerja (JTK) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Perak.
Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, bertindak atas maklumat, polis berjaya mengesan satu aktiviti eksploitasi buruh paksa dan buruh kanak-kanak di perusahaan terbabit.
"Dalam operasi itu, polis menahan seorang lelaki bertindak sebagai pengarah syarikat bersama 27 pekerja asing termasuk empat wanita warga China dan Myanmar berusia lingkungan 30 hingga 55 tahun.
"Polis turut menyelamatkan seorang kanak-kanak lelaki di bawah Seksyen 44 Akta Antipemerdagangan Manusia dan Penyeludupan Migran (Atipsom) 2007," katanya dalam satu kenyataan di sini.
Menurut beliau, pengarah syarikat berusia 49 tahun itu akan disiasat di bawah Seksyen 14 Akta Atipsom 2007 kerana memperdagangkan kanak-kanak bagi tujuan eksploitasi.
"Lelaki itu juga akan disiasat mengikut Seksyen 55(b) Akta Imigresen 1959/63 kerana mengambil pekerja asing yang tidak memiliki pas kerja yang sah.
"Kesemua pekerja asing itu pula ditahan di bawah Seksyen 6(1)(c) akta sama kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1959/63 kerana salah guna pas," katanya.
Azizi berkata, dalam operasi itu, JAS Perak turut mengambil tindakan terhadap premis tersebut yang tidak mematuhi Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
Sementara itu, Pengarah JTK Perak, Muhamad Fauzi Abd Ghani berkata, hasil pemeriksaan mendapati tempat tinggal yang disediakan majikan tidak kondusif untuk pekerjanya.
Menurut beliau, penginapan rumah kontena didiami pekerja asing itu gagal memenuhi kehendak di bawah Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudanan Pekerja 1990.
"Serbuan mendapati majikan tidak menyediakan kemudahan penginapan seperti ruang penginapan panas, tiada pengudaraan selain tandas dan ruang dapur sangat kotor.
"Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 24D akta sama dan Peraturan 4, Peraturan-peraturan Standard Minimum Perumahan, Penginapan Dan Kemudahan Pekerja (Penginapan dan penginapan berpusat) 2020," katanya.
Muhamad Fauzi berkata, premis terbabit turut dikesan melakukan kesalahan di bawah Sesyen 63 (1) Akta Kerja 1955 kerana tidak melaporkan maklumat pengurangan upah.
"Selain itu, Seksyen 25A Akta Kerja 1955 kerana membayar gaji secara tunai tanpa kebenaran dari Ketua Pengarah Tenaga Kerja serta Sesyen19(1) akta sama iaitu tidak membayar upah dalam tempoh tujuh hari selepas tarikh terakhir tempoh gaji.
"Operasi dan penguatkuasaan ini penting sebagai suatu langkah proaktif jabatan dalam memastikan segala peruntukan undang-undang dipatuhi dan diambil cakna oleh majikan serta pekerja," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!