Tiga lelaki pecah masuk pejabat Parlimen Kulai ditahan
KULAI - Polis berjaya menyelesaikan kes pencerobohan dan pecah masuk membabitkan sekolah, tokong dan pejabat Parlimen Kulai yang berlaku awal bulan ini, dengan penahanan tiga lelaki pada 20 Julai lalu.
Ketua Polis Daerah Kulai, Superintenden Tan Seng Lee berkata, kesemua suspek warga tempatan berusia 24 hingga 29 tahun itu ditahan dalam serbuan di lokasi berbeza sekitar Johor Bahru dan Kulai.
"Menerusi tangkapan yang dilakukan, polis telah berjaya menyelesaikan tujuh kes pecah pejabat sekolah, satu kes pecah pejabat Parlimen Kulai dan satu kes pecah tokong dalam daerah ini.
"Siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenal pasti dan mengesan seorang lagi rakan sejenayah suspek yang masih bebas.
"Polis turut merampas sejumlah barang kes dipercayai yang telah dicuri bersama peralatan dan kenderaan yang digunakan semua suspek," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Menurut beliau, hasil semakan mendapati semua suspek mempunyai rekod kesalahan dadah dan jenayah lampau.
"Manakala ujian saringan awal air kencing ke atas semua suspek mendapati mereka positif methamphetamine dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.
Pada 19 Julai lalu, media melaporkan Pejabat Parlimen Kulai serta empat sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) di daerah ini menjadi sasaran penjenayah apabila dipecah masuk baru-baru ini.
Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching yang juga Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, beberapa barangan berharga seperti telefon bimbit, tablet dan barangan elektrik di pejabatnya telah dicuri suspek dalam kejadian pecah masuk tersebut.
Sementara itu, Seng Lee berkata, seorang lagi lelaki tempatan ditahan bersama rampasan sebilah pisau selesai disyaki menceroboh sebuah kawasan sekolah kebangsaan di Kulai pada kira-kira 10.30 malam, 19 Julai lalu.
"Ujian awal saringan air kencing yang dijalankan ke atas tangkapan didapati negatif dadah dan kes disiasat mengikut Seskyen 447 Kanun Keseksaan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!