Sabah tumbangkan Negeri Sembilan di Likas
SABAH FC mengakhiri kemarau kemenangan saingan Liga Super apabila menjinakkan Negeri Sembilan FC, 2-0 dalam perlawanan di Stadium Likas, Kota Kinabalu pada Khamis.
Tiga mata diraih skuad The Rhinos kendalian Datuk Ong Kim Swee itu membolehkan kelab Kepulauan Borneo melonjak ke tangga kedua saingan Liga Super.
Rhinos tampil dengan misi tiga mata terlebih dulu membuka jaringan menerusi Daniel Ting yang menterjemahkan sentuhan Telmo Castanheira pada minit ke-14.
Sabah berpeluang melebarkan jaringan selepas Farhan Roslan dijatuhkan Azrin Afiq dalam kotak penalti minit ke-25, namun semakan Video Bantuan Pengadil (VAR) oleh pengadil Mohamad Kamil Zakaria Ismail menafikan sepakan penalti untuk The Rhinos.
Separuh kedua Negeri Sembilan terpaksa bermain dengan 10 pemain pada minit ke-64 setelah pemain pertahanan Norfiqrie Talib terus dilayangkan kad merah setelah melakukan terjahan keras terhadap Farhan.
Sabah mengambil peluang kekurangan itu dengan menambah jaringan pada minit ke-81 menerusi Jafri Firdaus Chew yang tenang menyudahkan sepakan penalti diberikan pengadil setelah Zainal Abidin Jamil menjatuhkan Castanheira dalam kotak penalti.
Anak buah Kim Swee seharusnya mampu meledak lebih banyak jaringan namun pemain Sabah gagal menyudahkan deretan peluang yang terhidang, selain percubaan Skuad Badak dinafikan penjaga gol Aqil Razak.
Kemenangan menyaksikan Sabah meraih 10 mata daripada lima perlawanan di belakang pendahulu Liga Super Johor Darul Ta'zim (JDT) yang meraih 15 mata daripada deretan lima kemenangan tanpa kalah setakat ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!