Insiden pegawai bank songlap duit pelanggan
SALAH satu cerita paling terkenal di Malaysia ialah kisah seorang eksekutif bank, Aman Shah Ahmad yang berjaya menciptakan satu sistem untuk mengambil satu sen daripada setiap akaun pelanggan Hock Hua Bank pada tahun 1990.
Walaupun gajinya hanya RM1,800 sebulan, namun dia memiliki wang sebanyak RM4.01 juta, dan membelanjakannya dengan membeli enam kereta mewah secara tunai.
Kegiatannya terbongkar selepas pengurus bank curiga dengan aset dimiliki Aman Shah lantas membuat laporan polis.
Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur mendapati dia bersalah di bawah Seksyen 408 Kanun Keseksaan kerana melakukan pecah amanah sebanyak tujuh kali, antara 26 Januari hingga 27 Mac 1990. Aman Shah telah dijatuhi hukuman penjara lima tahun.
Berikut adalah antara pecah amanah melibatkan pegawai bank di Malaysia:
21 Mei 2015: Kuala Lumpur
Seorang bekas pegawai bank HSBC dihukum penjara enam tahun oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur berhubung kehilangan wang berjumlah RM77,530 daripada akaun simpanan tiga mangsa pesawat Malaysia Airlines MH370 yang masih hilang. Nur Shila Kanan, 34, mengaku bersalah terhadap 12 pertuduhan.
7 Februari 2019: Kuala Lumpur
Seorang bekas Penolong Pengurus CIMB Bank, S.Sugunan, 46, mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur kerana menggunakan wang pelanggan berjumlah RM715, 000 untuk bertaruh judi bola sepak ke atas pasukan Manchester City.
26 Oktober 2021: Kuala Lumpur
Seorang pegawai bank antarabangsa berusia 43 tahun ditahan di Cheras, Kuala Lumpur kerana disyaki menggunakan wang simpanan tetap milik pelanggan berjumlah RM4 juta bagi membeli tujuh jongkong emas. Dia telah dituduh mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan pada 27 September 2021 bagi satu kes manakala kes lain dalam siasatan.
14 Oktober 2022: Selangor
Seorang pegawai bank berusia 59 tahun di Klang dicekup polis selepas dia disyaki memperdaya pelanggan untuk menyertai satu skim pelaburan sebelum bertindak mengeluarkan wang RM850,000 daripada akaun bank mangsa tanpa pengetahuan pemilik akaun.
12 Julai 2024: Perak
Wang RM2 juta hilang daripada akaun pelanggan bank di Kuala Kangsar. Bagaimana suspek telah meninggal dunia.
25 Julai 2024: Sabah
Dua pengurus bank adalah antara 10 individu didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu berhubung kecurian wang pelanggan MBSB Bank berjumlah RM24.2 juta.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!