Ada banyak aktiviti, rugi kalau datang hanya sehari
SHAH ALAM - Karnival Rakyat Karangkraf 2024 yang berlangsung di Kompleks Karangkraf di sini selama tiga hari bermula hari ini, menjanjikan pengalaman istimewa kepada pengunjung menerusi pelbagai aktiviti menarik dan peluang memenangi hadiah lumayan.
Ketua Pegawai Eksekutif Grup Sinar Karangkraf, Farah Hussamuddin berkata, pengunjung berpeluang memenangi motosikal dan pakej umrah dalam sesi cabutan bertuah.
“Jangan lepaskan peluang untuk membawa pulang pelbagai lagi hadiah menarik yang ditawarkan. Ada juga jam tangan, barangan elektrik dan banyak lagi. Pengunjung hanya perlu mendaftar di kaunter yang disediakan,” katanya pada Khamis.
Katanya, antara tarikan lain di Karnival Rakyat Karangkaf kali ini ialah Rumah Puaka Nusantara, Sukaneka Rakyat, Mini Zoo, Fiesta Kucing TomKraf, Jualan Rahmah Madani, SinarPlus MakanFest dan Jualan Buku Karangkraf.
“Banyak aktiviti yang disediakan termasuk pertunjukan unit beruniform serta pertandingan seni dan kebudayaan. Tidak cukup hanya datang sehari sahaja ke karnival kali ini,” ujarnya.
Farah berkata, Karnival Rakyat Karangkraf akan dilancarkan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali hari ini pada jam 3 petang.
“Acara ini diadakan di pentas utama dan pengunjung juga boleh menghadiri sesi Town Hall Rakyat bersama Datuk Armizan pada jam 4 petang di Studio My#QuranTime, Kompleks Karangkraf,” katanya.
Beliau berkata, pelbagai aktiviti dan program telah dirancang dengan teliti untuk membawa kelainan dan memberikan pengalaman unik kepada pengunjung.
Katanya, persiapan rapi juga telah dilakukan dan pihaknya bersedia menerima kehadiran pengunjung.
Karnival Rakyat Karangkraf 2024 mengembalikan nostalgia zaman dahulu menerusi tema tradisional dan kerakyatan membabitkan dua komponen utama iaitu sukan rakyat dan pentas rakyat.
Program yang akan berlangsung dari jam 9 pagi hingga 7 malam itu, dianjurkan sempena sambutan ulang tahun ke-18 Sinar Harian.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!