Kawal anak pun biarlah berpada-pada

Foto 123RF
Foto 123RF
A
A
A

TEPAT jam 6 petang, di satu sudut dalam sebuah pejabat, telefon si pemuda ini pasti berdering dan sayup-sayup kedengaran suara wanita yang bertanyakan lokasi anaknya itu.

Lalu si pemuda itu menjawab; “Sudah hendak balik ini. Baru habis kerja.” Situasi itu bukan sekali dua berlaku tetapi setiap kali si pemuda tersebut cuba untuk kerja lebih masa, pasti telefonnya berdering tepat jam 6 petang.

Merak Jalanan dapat tahu bahawa si pemuda itu tidaklah semuda yang disangka. Umurnya juga sudah menjangkau 30-an dan agak pelik untuk lelaki seusianya diperlakukan sebegitu.

Lebih-lebih lagi apabila rakan-rakan yang lingkungan usianya itu ada yang sudah berkahwin, anak pun dah tiga orang dan punyai kehidupan sendiri.

Merak Jalanan bukan hendak menjaja kisah orang, tetapi ini adalah pengajaran kepada diri sendiri dan ingin juga berkongsi pendapat dengan anda semua.

Semua orang sayangkan anak dan rasa khuatir pasti berlegar-legar dalam kepala sekiranya keberadaan si anak itu tidak kita ketahui.

Pernahkah anda sebagai ibu bapa terfikir tindakan seperti kisah Merak Jalanan kongsi itu sebenarnya terselit impak kurang baik kepada si pemuda tersebut?

Walaupun dunia kini semakin mengecil dek canggihnya teknologi, namun janganlah kita mengikat anak-anak hingga ke tahap itu.

Artikel Berkaitan:

Merak Jalanan bukanlah menyokong kepada kebebasan melampau buat anak-anak tetapi dengan zaman teknologi ini, mereka perlu meneroka dan merasai sendiri erti kehidupan sebenar.

Benar tiada ibu bapa dalam dunia yang suka melihat anak-anak jatuh ke dalam ‘gaung’ tetapi bukankah pengalaman itu kunci kepada kematangan sebuah kehidupan?

Benar, banyak kes jenayah berlaku membabitkan anak-anak yang tidak berdosa. Namun, adakah logik akal untuk seorang pemuda lewat usia 30-an perlu dikawal seperti remaja belasan tahun?

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!