Olimpik Paris 2024: Kem badminton tagih sokongan luar biasa
PEMAIN badminton negara, Chen Tang Jie menagih sokongan luar biasa rakyat Malaysia apabila akan turun beraksi dalam saingan peringkat kumpulan Sukan Olimpik 2024 di Paris pada Jumaat.
Dia yang berpasangan bersama Toh Ee Wei akan membuka tirai aksi beregu campuran menentang Terry Hee-Jessica dari Singapura.
Tang Jie yang tidak sabar untuk bermain pada temasya terbesar dunia itu menyifatkan aksi pertama tersebut sangat mengujakan.
Malah beliau pernah mengimpikan untuk berada di pentas besar berkenaan sejak kali pertama menyaksikan Olimpik di Beijing 16 tahun lalu.
"Tiba masanya untuk saya dan Ee Wei berjuang memburu kejayaan demi Malaysia. Saya perlu sokongan anda semua lebih dari sebelum ini dengan sasaran saya untuk membawa pulang pingat ke Malaysia," katanya.
Turut diundi dalam Kumpulan D adalah pasangan nombor dua dunia dari China, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping dan beregu Amerika Syarikat, Vinson Chiu-Jennie Gai.
Atas kertas, pasangan negara yang menghuni ranking kesembilan dunia dilihat tidak berdepan masalah untuk menjinakkan lawan yang berada di kedudukan ke-17 menerusi rekod pertemuan memihak Tang Jie-Ee Wei 1-0.
Tang Jie turut menyifatkan Olimpik sangat berbeza dan tidak semua pemain layak bermain pada temasya empat tahun sekali itu.
"Olimpik adalah langkah pertama dan kami akan terus bekerja keras untuk lakar keputusan yang lebih baik," kata Tang Jie.
Selain Tan Jie-Ee Wei turut beraksi ialah beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah yang akan menentang lawan dari China, Chen Qing Chen-Jia Yi Fan dalam saingan pertama Kumpulan A.
Sandaran pingat emas negara yang juga pemenang gangsa Olimpik Tokyo 2020, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang diundi dalam kumpulan A dijadual berdepan Ben Lane-Sean Vendy dari Great Britain.
Berdasarkan format, johan dan naib juara kumpulan acara beregu akan layak ke peringkat suku akhir dengan undian baharu akan dijalankan bagi menentukan lawan dalam kelompok lapan terbaik.
Dalam pada itu pemain perseorangan wanita, Goh Jin Wei pula dijadual membuat perhitungan dengan wakil Afrika Selatan, Johanita Scholtz dalam saingan Kumpulan H.
Sementara itu, pemain profesional negara, Lee Zii Jia pula dijangka berdepan laluan mudah untuk meraih kemenangan pertama apabila berdepan Viren Nettasinghe dari Sri Lanka pada Ahad ini untuk perlawanan pembukaan kumpulan G.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!