Bermulanya proses keadilan untuk Zayn Rayyan, Nur Farah Kartini

Kes Zayn Rayyan (kiri) dan Nur Farah Kartini menjadi tumpuan hari ini.
Kes Zayn Rayyan (kiri) dan Nur Farah Kartini menjadi tumpuan hari ini.
A
A
A

SETELAH keadilan buat Pegawai Kadet Laut, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain berjaya ditegakkan, institusi undang-undang negara kembali menjadi tumpuan pada hari ini, membabitkan dua lagi kes kematian iaitu kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6, dan Nur Farah Kartini Abdullah, 25.

Sebutan kes ibu bapa Zayn Rayyan akan berlangsung di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya.

Suspek didakwa bawah Seksyen 31(1)(a) bersama Seksyen 34 Akta Kanak Kanak 2001 yang boleh membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda maksimum RM 50,000.

Pada 6 Disember lalu, Zayn Rayyan ditemui meninggal dunia di anak sungai, berhampiran kawasan Apartmen Idaman, Damansara Damai pada jam 10 malam.

Mangsa sebelum itu dilaporkan hilang di kawasan kediamannya sebelum ditemui terbaring di sungai yang jaraknya kira-kira 200 meter dari blok kediamannya.

Selepas enam bulan, polis menahan reman ibu bapa kanak-kanak berkenaan setelah dipercayai mempunyai kaitan dengan kematian anak mereka yang dibunuh.

Sementara itu, suspek kes pembunuhan Nur Farah Kartini pula akan dituduh di Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu, seperti yang disahkan oleh Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan pada Khamis.

Suspek didakwa bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Artikel Berkaitan:

Polis percaya kes ada kaitan dengan perselisihan hubungan, namun punca kematian masih dalam siasatan.

Mayat Nur Farah Kartini dijumpai di kawasan ladang kelapa sawit di Kampung Seri Keledang, Hulu Selangor, 15 Julai lalu.

Berikutan itu, hari yang sama, suspek iaitu seorang anggota polis berpangkat lans koperal yang bertugas di Perak telah ditahan.

Suspek berusia 26 tahun kemudian direman tujuh hari sehingga 22 Julai sebelum dilanjutkan lagi tujuh hari untuk siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sepanjang tempoh itu, beberapa barang kes yang dikaitkan dengan kes terbabit telah dijumpai antaranya telefon pintar, beg tangan, kunci kereta dan dompet berisi kad pengenalan Nur Farah.

Penemuan barang kes itu ditemui di sekitar lokasi penemuan mayat mangsa selain di Sungai Trolak Kampung Batu, Perak.

Kedua-dua kes kematian menjadi perhatian masyarakat setelah dilaporkan hilang sebelum mayat mereka ditemukan.

Masing-masing memberi kesan yang begitu mendalam buat rakyat Malaysia apatah lagi melibatkan seorang kanak-kanak orang kurang upaya (OKU) tidak berdosa dan wanita muda yang juga merupakan bakal pendidik negara.

Jika kes Zulfarhan memerlukan tujuh tahun sebelum enam pesalah dijatuhkan hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Rayuan Selasa lalu, proses keadilan buat kedua-dua Allahyarham ini juga mungkin mengambil masa, namun bergantung kepada perkembangan proses mahkamah kelak.

Cepat atau lambat, rakyat Malaysia akan tetap setia mengikuti perkembangan kedua-dua kes, dan terus berharap agar keadilan buat mangsa dapat ditegakkan dan pelaku menerima hukuman yang setimpal.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!