Bukti persepakatan boleh dicapai

Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, sekurang-kurangnya 38,153 rakyat Palestin telah terkorban akibat serangan balas Israel ke atas Hamas.
Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, sekurang-kurangnya 38,153 rakyat Palestin telah terkorban akibat serangan balas Israel ke atas Hamas.
A
A
A

SHAH ALAM - Perjanjian demi perdamaian nasional antara Hamas dan Fatah dapat memberikan momentum ke arah kedudukan bersepadu Palestin dalam mendepani ancaman dari Israel.

Penganalisis Politik dan Antarabangsa Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura, Dr Oh Ei Sun berkata, ia juga merupakan langkah positif dalam mengukuhkan pendirian Palestin terhadap tindakan Israel yang dianggap kejam oleh satu dunia.

“Sebelum ini, ada tanggapan terhadap Palestin bahawa mereka tidak dapat bersatu, mencapai kata sepakat dan tidak tahu cara untuk mentadbir negara.

“Dengan kesepakatan bersama 12 kumpulan Palestin dalam satu himpunan bersama itu, sekurang-kurangnya mereka dapat mencapai kata sepakat awal atau melakukan perjanjian damai.

“Saya fikir ia akan memberikan momentum ke arah kedudukan bersepadu Palestin,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Oh Ei Sun
Oh Ei Sun

Perang Israel ke atas Hamas tercetus berikutan serangan Hamas pada 7 Oktober tahun lalu yang mengorbankan 1,200 orang selain 251 yang lain dijadikan tebusan di Gaza.

Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, sejak itu sekurang-kurangnya 38,153 rakyat Palestin terkorban akibat serangan balas Israel.

Artikel Berkaitan:

Pada Selasa, Hamas mengumumkan bahawa pihaknya telah menandatangani perjanjian di Beijing, China dengan pertubuhan Palestin yang lain termasuk Fatah untuk bekerjasama demi ‘perpaduan nasional’.

Menteri Luar China, Wang Yi yang menjadi tuan rumah kepada pegawai kanan Hamas, Musa Abu Marzuk, utusan Fatah, Mahmud al-Aloul dan utusan daripada 12 kumpulan Palestin lain berkata, mereka telah bersetuju untuk menubuhkan ‘kerajaan pendamaian nasional sementara’ untuk mentadbir Gaza selepas perang.

Sementara itu, mengulas mengenai jangkaan beliau mengenai tempoh perjanjian perdamaian yang dimeterai tersebut, Ei Sun berkata, ia mungkin tidak bertahan lama.

“Mungkin (perdamaian tersebut) hanya untuk jangka masa singkat, sebelum mereka terlibat lagi dalam perang saudara,” ujar beliau.

Dalam pada itu katanya, pendirian menerusi perpaduan nasional berkenaan juga memberitahu dunia bahawa Tebing Barat dan Gaza boleh ditadbir secara aman iaitu melalui kaedah penyelesaian dua hala.

“Jika tidak, di peringkat antarabangsa mereka (Palestin) akan sentiasa dikritik kerana tidak dapat mencapai kata sepakat sesama mereka,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!