Wanita potong kemaluan suami kerana menikah lagi
SEKAYU - Tindakan seorang lelaki yang mendedahkan bahawa dia berkahwin satu lagi kepada isterinya mengundang padah apabila wanita itu bertindak memotong kemaluannya.
Kejadian dilaporkan berlaku di rumah mereka di Kecamatan Bayung Lencir, Sumatera Selatan.
Insiden bermula apabila mangsa mendedahkan bahawa dia sudah berkahwin tanpa pengetahuan isterinya itu hingga membawa kepada pertelingkahan mulut yang agak panjang.
"Pada malam itu saya minta dia ceraikan saya atau dia ceraikan isteri mudanya, tetapi dia tidak mahu kerana madu saya itu sedang mengandung.
"Selepas itu, saya terima sahaja kerana memikirkan nasib tiga anak saya jika diceraikan, kemudian suami meminta saya menelefon wanita itu dan saya lakukan dan maklumkan kepadanya bahawa saya merestui hubungan mereka," katanya.
Bagaimanapun kata wanita itu, selepas bangun dan solat Subuh dia kemudiannya menangis dan tidak dapat menerima kenyataan bahawa suaminya berkahwin lagi.
"Saya secara spontan mengambil alat pemotong, kemudian mengerat kemaluannya ketika dia sedang tidur," katanya.
Jelasnya, suaminya bagaimanapun masih selamat kerana telah mendapat pertolongan daripada orang tuanya.
Susulan itu pada 23 Julai, wanita yang dikenali sebagai Lisa Yani itu bakal dikenakan hukuman penjara tiga tahun dan lima bulan jika disabit kesalahan.
Hakim Mahkamah Negeri Muba, Hakim Silvi Ariani berkata, wanita itu bakal dijatuhkan hukuman berkenaan kerana melanggar Seksyen 44 Ayat (2) Undang-Undang Indonesia Nombor 23 Tahun 2004 mengenai keganasan dalam rumah tangga.
Silvi berkata, hukuman berat dikenakan selepas mengambil kira keadaan mangsa, Rian Hidayat yang mengalami cacat kekal kerana tindakan suspek.
Bagaimanapun Silvi berkata, suspek mungkin dikenakan hukuman yang lebih ringan selepas mengambil kira pendamaian antara kedua-dua mereka selain status pelaku yang masih isteri kepada mangsa. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!