Agensi kerajaan, NGO bersihkan Pasar Borong Sri Guchil

Muhammad Zuhairi (kiri) dan Zubir (dua dari kanan) dan anggota bomba mencuci longkang di kawasan Pasar Borong Sri Guchil, Kuala Krai.
Muhammad Zuhairi (kiri) dan Zubir (dua dari kanan) dan anggota bomba mencuci longkang di kawasan Pasar Borong Sri Guchil, Kuala Krai.
A
A
A

KUALA KRAI - Seramai 300 individu daripada 15 agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) di daerah ini turun padang bergotong-royong membersihkan kawasan Pasar Borong Sri Guchil di sini dan sekitarnya pada Khamis.

Penolong Setiausaha Majlis Daerah Kuala Krai (MDKK), Muhammad Zuhairi Azman berkata, program membersihkan pasar berusia hampir 40 tahun itu meliputi kerja-kerja pembersihan keseluruhan longkang dalam dan luar pasar, pembuangan sampah serta pemotongan rumput.

“Kami juga memangkas dahan-dahan pokok yang mati dan berbahaya kepada pengguna selain mengenal pasti perkakas perniagaan yang rosak atau mengganggu untuk dibuang.

“Program ini dijalankan serentak oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) bertujuan memberi kesedaran peniaga dan pengunjung supaya bekerjasama meningkatkan kebersihan bersama MDKK,” katanya ketika ditemui pada Program Gotong-royong Perdana Kelantanku Bersih peringkat daerah Kuala Krai di Pasar Borong Sri Guchil di sini pada Khamis.

Turut hadir merasmikan program itu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mengkebang, Zubir Abu Bakar.

Zubir (kanan) menaiki jentera berat untuk memotong dahan pokok di sekitar kawasan pasar.
Zubir (kanan) menaiki jentera berat untuk memotong dahan pokok di sekitar kawasan pasar.

Menurut Muhammad Zuhairi, pasar dengan tahap kebersihan yang memuaskan berkenaan menerima lebih 500 pengunjung setiap hari dan mencecah 1,000 hingga 2,000 pada hujung minggu.

“Pasar ini menempatkan hampir 200 peniaga yang menawarkan pelbagai barangan makanan basah, runcit dan kelengkapan harian.

Artikel Berkaitan:

“Pasar beroperasi bermula jam 6 pagi dan menjadi tumpuan kerana mempunyai banyak pilihan selain harga yang ditawarkan peniaga lebih murah berbanding di tempat lain kerana barangan jualan yang dibuat secara borong,” katanya.

Peserta program bersama Zubir (kiri) membersihkan dan mengutip sampah di dalam longkang.
Peserta program bersama Zubir (kiri) membersihkan dan mengutip sampah di dalam longkang.

Beliau berkata, pihaknya juga mahu mengekalkan prestasi sebagai PBT terbaik kategori Kelantanku Bersih 2023 yang dianugerahkan oleh Kerajaan Kelantan, baru-baru ini.

Sementara itu, Zubir berkata, kebersihan lambang peribadi setiap individu dan pendidikannya perlu bermula dari rumah.

“Dulu ada stigma Kelantan kotor tetapi perkara itu sudah berubah dan dapat dilihat kebersihan mulai ditingkatkan dari semasa ke semasa berbanding pada 80-an serta 90-an lalu,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!