Bandar wakaf impian MAIDAM

Dibangunkan dengan dana wakaf, mampu ubah persepsi masyarakat mengenai konsep wakaf dalam Islam

SHAIKH HARUN (kanan) bersama hos, Azman Mohd Nawi pada program Podcast POV Sinar Islam Plus dibawakan khas oleh MAIDAM.
SHAIKH HARUN (kanan) bersama hos, Azman Mohd Nawi pada program Podcast POV Sinar Islam Plus dibawakan khas oleh MAIDAM.
A
A
A

KONSEP wakaf sering kali dipandang serong oleh sebahagian masyarakat memandangkan hasil daripada sumbangan wakaf tidak ‘nampak’ di mata kasar mereka.

Walaupun usaha membangunkan dana atau aset wakaf giat dilaksanakan, ia masih belum mampu memberi impak kepada umat Islam, menurut pandangan mereka.

“Pemikiran seperti ini perlu diubah dan diperbetulkan dengan membentangkan hasil kepada masyarakat bahawa instrumen wakaf ini sangat luar biasa kesannya kepada umat Islam seperti yang dilaksanakan Nabi Muhammad SAW,” jelas Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail.

Beliau berkata demikian pada program Podcast POV Sinar Islam Plus yang disiarkan di Facebook dan YouTube Sinar Harian dan Sinar Islam Plus dibawakan khas oleh MAIDAM.

DATUK SHAIKH HARUN
DATUK SHAIKH HARUN

Wakaf telaga Sayidina Uthman, manfaat hingga ke hari ini

Menurut beliau, pada awal perkembangan Islam di bumi Makkah, Rasulullah SAW meminta umat Islam yang berkemampuan untuk membeli sebuah telaga daripada seorang Yahudi selepas penghijrahan ke kota Madinah.

Artikel Berkaitan:

“Akhirnya Sayidina Uthman bin Affan RA menyahut seruan Nabi SAW untuk membeli telaga tersebut yang pada awalnya air telaga berkenaan dijual orang Yahudi kepada umat Islam dengan keuntungan yang besar.

“Sayidina Uthman seterusnya mewakafkan telaga berkenaan untuk manfaat umat Islam ketika itu dan begitulah besarnya peranan wakaf tambahan pula ketika itu perintah berzakat belum diturunkan,” jelasnya.

Tambahnya, wakaf telaga yang diberi nama Bi’ru Rummah itu masih boleh dimanfaatkan sehingga ke hari ini walaupun lebih 1,400 tahun telah berlalu.

“Kutipan zakat sememangnya digunakan khusus untuk lapan asnaf seperti yang disenaraikan dalam ayat ke-60 surah at-Taubah.

“Berbanding dana wakaf, ia lebih menyeluruh dan umum. Semua umat Islam boleh mendapatkan manfaat daripada instrumen wakaf ini,” jelasnya.

Pelaburan terus dikembangkan, masyarakat terima manfaat

Katanya, MAIDAM telah melakukan pelbagai usaha untuk menguruskan harta wakaf.

“Di Terengganu, MAIDAM dengan kerjasama Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) telah membina hotel The Grand Puteri meliputi hampir 200 bilik dengan kos RM46 juta pada 2009 di pusat bandar Kuala Terengganu.

“Kini kita telah mendapat pulangan daripada pelaburan daripada harta wakaf tersebut dan MAIDAM memperoleh kira-kira RM50,000 setiap bulan,” katanya.

BANDAR wakaf yang dirancang MAIDAM memerlukan sumbangan wakaf yang besar daripada orang ramai untuk menjayakannya. - Gambar hiasan/Foto CANVA
BANDAR wakaf yang dirancang MAIDAM memerlukan sumbangan wakaf yang besar daripada orang ramai untuk menjayakannya. - Gambar hiasan/Foto CANVA

Tambahnya lagi, pengembangan harta dan aset wakaf turut melibatkan pembelian empat buah rumah kedai berjumlah RM3.5 juta pada 2017 dan MAIDAM memperoleh hasil sewaan kira-kira RM12,000 sebulan serta pelbagai projek lain yang diuruskan MAIDAM.

“Secara umumnya harta dan aset wakaf ini akan dilaburkan terlebih dahulu sebelum hasilnya dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu 40 peratus akan digunakan untuk pelaburan manakala 10 peratus digunakan untuk kos pengurusan dan penyelenggaraan.

“Baki 50 peratus daripada hasilnya itulah akan dimanfaatkan kepada masyarakat atau kepada siapa yang diniatkan oleh pewakaf tersebut,” hurainya.

Ulas Shaikh Harun lagi, harta dan aset wakaf akan kekal dan terus dikembangkan lagi.

“Harta dan aset wakaf umat Islam akan berkembang dan bertambah sekali gus dapat menaikkan ekonomi umat Islam dan masyarakat tempatan.

“Inilah yang sebahagian masyarakat tidak ‘nampak’ hasilnya. Oleh sebab itu saya menyeru masyarakat untuk memperuntukkan sebahagian harta mereka melalui wakaf,” katanya.

Bandar wakaf MAIDAM di Kuala Nerus

Bercerita lebih lanjut, MAIDAM kini sedang merancang untuk membangunkan bandar wakaf di atas tanah seluas 22 ekar (8.9 hektar) di Kuala Nerus.

“Kita telah pun membayar premium tanah berjumlah RM2.8 juta kepada kerajaan negeri untuk projek bandar wakaf ini.

“Bandar wakaf ini akan mempunyai ciri-ciri keislaman dan penerapan nilai-nilai Islam di dalamnya termasuk rumah yang menghadap kiblat,” katanya.

SHAIKH HARUN (kanan) menjelaskan bandar wakaf yang dirancang MAIDAM bakal mengubah persepsi masyarakat berkaitan konsep wakaf dalam Islam.
SHAIKH HARUN (kanan) menjelaskan bandar wakaf yang dirancang MAIDAM bakal mengubah persepsi masyarakat berkaitan konsep wakaf dalam Islam.

Katanya, akan ada kompleks rumah untuk orang-orang miskin selain disediakan kuota untuk para pelajar yang dianggarkan dalam 4,000 hingga 5,000 orang.

“Ciri-ciri lain bandar wakaf ini kita akan sediakan medan selera untuk 60 buah kedai dan sekurang-kurangnya seorang pekerja dalam kalangan orang miskin bekerja di kedai berkenaan,” katanya.

Pihaknya juga akan membina sebuah bangunan tiga tingkat yang akan digunakan sebagai pusat perniagaan di aras paling bawah manakala tingkat kedua untuk kegunaan surau berkapasiti 1,000 jemaah dan tingkat ketiga untuk kegunaan komuniti seperti kelas tuisyen dan sebagainya.

“Untuk menyiapkan bandar wakaf ini, kita memerlukan dana wakaf yang besar dan kita buka kepada orang ramai untuk sama-sama mengambil peluang ini merebut ganjaran berwakaf.

“Projek ini akan bermula pada 2025 mengikut fasa-fasa yang ditetapkan dan kita mengambil contoh daripada projek wakaf Seetee Aisah di Pulau Pinang selain projek wakaf Ahmad Dawjee Dadabhoy di Kuala Lumpur,” katanya.

Orang ramai yang berminat untuk berwakaf boleh melayari laman sesawang www.ewakaf.maidam.gov.my/jomwakaf atau hubungi 09-630 3030 untuk maklumat lanjut.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!