Suami isteri maut dirempuh Hilux langgar lampu isyarat merah

Kereta yang dinaiki empat beranak remuk sehingga meragut nyawa sepasang suami isteri dalam kejadian tersebut. Foto Ihsan PDRM
Kereta yang dinaiki empat beranak remuk sehingga meragut nyawa sepasang suami isteri dalam kejadian tersebut. Foto Ihsan PDRM
A
A
A

RAUB - Sepasang suami isteri maut manakala dua anak cedera selepas kereta dinaiki mereka dirempuh oleh sebuah pacuan empat roda yang dipercayai melanggar lampu isyarat merah di Kilometer (KM)350 Jalan Kuala Lumpur-Kota Bharu dekat lampu isyarat Lingkaran Tengah Utama (LTU) Batu 3, Jalan Lipis di sini pada Khamis.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.20 malam itu, mangsa, Muhamad Anasar Kamarozaman,34 yang bekerja sebagai pengawal keselamatan dan Zalina Ali, 40, meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Raub, Superintenden Mohd Shahril Abdul Rahman berkata, kemalangan membabitkan kereta jenis Proton Wira dan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux.

Pacuan empat roda yang merempuh kereta Proton Wira dalam kejadian di Kilometer (KM)350 Jalan Kuala Lumpur-Kota Bharu dekat lampu isyarat Lingkaran Tengah Utama (LTU) Batu 3, Jalan Lipis di sini pada Khamis. Foto Ihsan PDRM
Pacuan empat roda yang merempuh kereta Proton Wira dalam kejadian di Kilometer (KM)350 Jalan Kuala Lumpur-Kota Bharu dekat lampu isyarat Lingkaran Tengah Utama (LTU) Batu 3, Jalan Lipis di sini pada Khamis. Foto Ihsan PDRM

Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku semasa pemandu kereta bersama isteri dan dua anak perempuan berusia 15 dan 20 tahun dari arah susur keluar CSR Raub hendak balik ke Dong.

"Apabila sampai di tempat kejadian, semasa kereta itu hendak meneruskan perjalanan selepas lampu isyarat bertukar hijau, tiba-tiba datang Toyota Hilux dari arah Lipis hendak ke Raub dan melanggar Proton Wira dari arah tepi kanan," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Ujarnya, akibat kemalangan tersebut pemandu kereta dan isteri telah maut di tempat kejadian dan dihantar ke Hospital Raub untuk bedah siasat.

"Dua anak iaitu yang berusia 15 tahun patah kaki dan seorang lagi mengalami kecederaan ringan dihantar ke Hospital Kuala Lipis untuk menerima rawatan.

Artikel Berkaitan:

"Pemandu Toyota Hilux iaitu lelaki berusia 40 tahun telah mengalami kecederaan di mata kiri dan dada," kata beliau.

Jelasnya, hasil siasatan awal mendapati kemalangan berpunca daripada pemandu Toyota Hilux melanggar lampu isyarat merah sehingga menyebabkan kemalangan jalan raya berlaku.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," tambahnya pemandu Toyota Hilux itu direman selama empat hari.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!