KPDN rampas lebih 600 jersi tiruan

Anggota penguat kuasa KPDN Cawangan Taiping merampas lebih 600 jersi berjenama yang disyaki menggunakan cap dagang yang tidak sah di sebuah kompleks beli belah, Jalan Istana Larut, di sini pada Khamis.
Anggota penguat kuasa KPDN Cawangan Taiping merampas lebih 600 jersi berjenama yang disyaki menggunakan cap dagang yang tidak sah di sebuah kompleks beli belah, Jalan Istana Larut, di sini pada Khamis.
A
A
A

TAIPING - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak merampas 673 helai pakaian jersi berjenama yang disyaki menggunakan cap dagang yang tidak sah di sebuah kompleks beli belah, Jalan Istana Larut, di sini pada Khamis.

Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, serbuan dijalankan sepasukan anggota penguat kuasa KPDN Cawangan Taiping di lokasi kejadian kira-kira jam 11 pagi.

Menurutnya, operasi ke atas premis berkenaan dilakukan susulan risikan selama dua minggu yang dijalankan setelah pemilik cap dagang membuat aduan.

"Maklumat awal mendapati bekalan pakaian jersi ini diperolehi dari utara Semenanjung Malaysia. Wakil pemilik cap dagang telah membuat pengesahan awal dan kesemua pakaian telah disita bersama dokumen perniagaan serta invois yang berkaitan.

"Pemeriksaan lanjut ke atas premis berkenaan telah menemukan sebanyak 673 unit pakaian jersi berjenama yang disyaki menggunakan cap dagang yang tidak sah. Nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM15,389," katanya kepada dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Kamaludin berkata, susulan itu juga seorang penyelia premis warga tempatan berusia 54 tahun ditahan bagi membantu siasatan.

Jelasnya, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 102 (1)(c) Akta Cap Dagangan 2019 Akta Cap Dagangan 2019 iaitu mempunyai dalam milikan atau kawalan bagi maksud perdagangan suatu cap dagangan berdaftar yang dipakaikan dengan salah di bawah Seksyen 100 Akta yang sama.

Menurutnya, jika sabit kesalahan, hukuman denda tidak melebihi RM10,000 bagi setiap barang atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali boleh dikenakan untuk individu.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu bagi syarikat pula, hukuman denda tidak melebihi RM15,000 bagi setiap barang diletakkan suatu cap dagangan berdaftar yang dipakaikan dengan salah jika sabit kesalahan.

"KPDN memandang serius dan akan mengambil tindakan ke atas mana-mana pihak yang menjalankan urus niaga atau apa-apa aktiviti antaranya seperti mengimport, menjual atau mempunyai dalam milikan, jagaan atau kawalannya apa-apa barang yang menggunakan cap dagangan berdaftar secara salah yang melanggar Akta Cap Dagangan 2019.

"Masyarakat atau pengguna disarankan untuk menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa untuk memberikan kerjasama sekiranya mempunyai sebarang maklumat berhubung aktiviti yang disyaki melanggar Akta Cap Dagangan 2019," katanya.

Beliau berkata, sebarang maklumat mengenai kesalahan tersebut boleh disalurkan ke mana-mana cawangan KPDN berdekatan atau melalui saluran-saluran aduan yang telah disediakan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!