Anggota polis didakwa membunuh Nur Farah Kartini

Seorang anggota polis didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu di sini hari ini, atas pertuduhan membunuh Nur Farah Kartini Abdullah yang mayatnya ditemukan di sebuah ladang kelapa sawit. Foto Bernama
Seorang anggota polis didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu di sini hari ini, atas pertuduhan membunuh Nur Farah Kartini Abdullah yang mayatnya ditemukan di sebuah ladang kelapa sawit. Foto Bernama
A
A
A

HULU SELANGOR - [DIKEMAS KINI] Seorang anggota polis didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu di sini pada Jumaat, atas pertuduhan membunuh Nur Farah Kartini Abdullah yang mayatnya ditemui di sebuah ladang kelapa sawit di Kampung Sri Kledang.

Lans Koperal Muhammad Alif Monjani, 26, didakwa membunuh Nur Farah Kartini, yang merupakan bekas penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di ladang kelapa sawit di sini antara 10 hingga 15 Julai lalu.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Nurul Mardhiah Mohammed Redza yang bertindak sebagai Majistret.

Pengakuan tidak direkodkan kerana kes bunuh itu dibawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, Muhammad Alif didakwa membunuh Nur Farah Kartini di Ladang SKC, Kledang, Mukim Hulu Bernam antara pukul 9 pagi 10 Julai hingga pukul 6 petang 15 Julai lalu.

Berikutan itu pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 akta sama.

Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak lebih 40 tahun dan tidak kurang 12 sebatan jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Ku Hayati Ku Haron memohon mahkamah menetapkan tarikh sebutan kes seterusnya bagi menyerahkan laporan asid deoksiribonukleik (DNA) dan laporan daripada pihak telekomunikasi.

Artikel Berkaitan:

Ketika prosiding tertuduh diwakili dua peguam iaitu Aida Jaafar Mad Ariff dan Nur Aida Md Zainuddin.

Mahkamah kemudian menetapkan 30 Ogos bagi sebutan semula kes.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan mayat Nur Farah Kartini dijumpai di kawasan ladang kelapa sawit di Kampung Seri Keledang, Hulu Selangor, pada 15 Julai lalu.

Berikutan itu, hari yang sama, suspek iaitu seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal yang bertugas di Perak telah ditahan.

Suspek berusia 26 tahun kemudian direman tujuh hari sehingga 22 Julai sebelum dilanjutkan lagi tujuh hari untuk siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sepanjang tempoh itu, beberapa barang kes yang dikaitkan dengan kes terbabit telah dijumpai antaranya telefon pintar, beg tangan, kunci kereta dan dompet berisi kad pengenalan Nur Farah.

Penemuan barang kes itu ditemui di sekitar lokasi penemuan mayat mangsa selain di Sungai Trolak Kampung Batu, Perak.

Mangsa dilaporkan hilang pada 10 Julai lalu selepas menghantar kereta sewa di Taman Universiti, Tanjung Malim, Perak.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!