Adik Zayn Rayyan masih dalam jagaan JKM

Fahmi dalam sidang akhbar pekarangan Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, pada Jumaat.
Fahmi dalam sidang akhbar pekarangan Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, pada Jumaat.
A
A
A

PETALING JAYA - Adik kepada Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matiin iaitu Zahin Mateen, 5, masih dalam jagaan sementara Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor.

Peguam yang mewakili ibu bapa Zayn Rayyan, Fahmi Abd Moin berkata, pasangan tersebut hanya berpeluang bertemu anak kedua mereka itu pada Hari Raya Aidiladha lalu sejak kanak-kanak itu di bawah jagaan JKM untuk dua bulan.

“Buat masa ini kalau nak berjumpa mereka, ibu bapanya (Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abd Manaf) perlu membuat temu janji.

“Mereka ada berjumpa sebelum ini secara fizikal semasa hari raya haji lepas dan ada juga membuat panggilan video pada minggu lalu,” katanya kepada pemberita di pekarangan Mahkamah Sesyen Petaling Jaya di sini pada Jumaat.

Tambah Fahmi, keadaan Zahin Mateen dilaporkan baik namun merindui kedua ibu bapanya.

Katanya, buat masa ini Zahin masih dijaga JKM dua bulan dari tarikh diserahkan tempoh hari sehingga mendapat perintah penjagaan sepenuhnya sebelum diserahkan kepada keluarga terdekat.

“Sudah tentu dia (Zahin) rindukan ibu bapa dan kedua-dua mereka (ibu bapa) lagi rindukan anak," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

15 Jun lalu, JKM kini dalam proses mengenal pasti orang yang layak dan sesuai, untuk menjadi penjaga mutlak adik kepada kanak-kanak autisme Zayn Rayyan.

Menteri Kebajikan Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata, buat masa kini, mahkamah telah memberikan perintah penjagaan sementara adik Zayn Rayyan selama dua bulan sehingga 9 Ogos depan kepada JKM.

Sebelum ini, Pengarah JKM Selangor, Azmir Kassim dilaporkan berkata, kanak-kanak itu kini di bawah jagaan sementara pihaknya selepas mendapat perintah dari Mahkamah Majistret Shah Alam dan perkara ini sudah dimaklumkan kepada ibu dan bapanya, Ismanira serta Zaim Ikhwan.

13 Jun lalu, ibu bapa Zayn Rayyan iaitu Zaim Ikhwan dan Ismanira mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengabaikan kanak-kanak itu dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001.

5 Disember lalu, Zayn Rayyan dilaporkan hilang di kediamannya di Apartment Idaman, Damansara Damai sebelum mayatnya ditemukan pada keesokan harinya berhampiran anak sungai di kediaman tersebut.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!