SPAN tubuh jawatankuasa khas teliti insiden gangguan bekalan air

SPAN akan menubuhkan satu Jawatankuasa Khas bagi meneliti insiden-insiden gangguan perkhidmatan air yang berpunca daripada pencemaran khususnya di Selangor.
SPAN akan menubuhkan satu Jawatankuasa Khas bagi meneliti insiden-insiden gangguan perkhidmatan air yang berpunca daripada pencemaran khususnya di Selangor.
A
A
A

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) akan menubuhkan satu Jawatankuasa Khas bagi meneliti insiden-insiden gangguan perkhidmatan air yang berpunca daripada pencemaran khususnya di Selangor.

Dalam kenyataan pada Jumaat, SPAN memaklumkan Jawatankuasa Khas itu akan bertindak mengumpul maklumat, keterangan dan meneliti semua aspek berhubung insiden-insiden gangguan perkhidmatan air yang berpunca daripada pencemaran.

"(Jawatankuasa Khas) seterusnya mencadangkan langkah-langkah penambahbaikan yang boleh dijadikan tata amalan terbaik oleh semua pihak yang berkepentingan demi menjamin kelestarian bekalan air,” menurut kenyataan itu.

SPAN berkata, pelbagai pihak dan agensi kerajaan akan dilibatkan secara langsung dalam proses pengumpulan data berkenaan termasuk Jabatan Alam Sekitar (JAS), badan pengurusan sumber air mentah negeri, Pihak Berkuasa Tempatan serta operator perkhidmatan air di negeri- negeri berkaitan.

"Jawatankuasa ini akan ditubuhkan dalam kadar segera dan dijangka selesai dalam tempoh 45 hari dari sesi pertama berlangsung,” katanya.

SPAN memandang serius terhadap insiden terkini pencemaran bau di Sungai Sembah dan Sungai Kundang hingga mengakibatkan gangguan bekalan air tidak berjadual terhadap lebih sejuta pengguna di tujuh kawasan di negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sejak 23 Julai hingga semalam.

Merujuk kepada insiden itu SPAN juga telah membuka satu kertas siasatan pada 24 Julai lepas ke atas suspek yang dikenal pasti.

Siasatan dibuat di bawah Seksyen 121(1)(c) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) bagi kesalahan mencemarkan atau menyebabkan supaya dicemarkan sistem bekalan air atau mana-mana sistem bekalan air, yang jika disabit dengan kesalahan boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau didenda tidak melebihi RM500,000.

Artikel Berkaitan:

SPAN komited untuk memastikan sebarang perbuatan salah laku terhadap air bersih dan sumbernya akan diambil tindakan tegas dalam tempoh sesegera yang mungkin dan seterusnya memastikan hukuman setimpal dikenakan ke atas pelaku. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!