[VIDEO] Nama Zayn Rayyan dipinda kepada Zayn Rayyan bin Zaim Ikhwan

A
A
A

PETALING JAYA - Pasukan pembelaan memohon kepada Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat untuk meminda nama, Zayn Rayyan Abdul Matiin kepada Zayn Rayyan bin Zaim Ikhwan dalam kertas pertuduhan dihadapi ibu bapa kanak-kanak autistik itu.

Peguam, Fahmi Abd Moin berkata demikian ketika prosiding hari pertama, sebutan semula kes pengabaian terhadap kanak-kanak autistik, membabitkan dua anak guamnya, Zaim Ikhwan Zahari, 29, dan Ismanira Abdul Manaf, 29.

Beliau berkata, merujuk kepada pertuduhan yang dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya pada tarikh lalu (13 Jun), nama kanak-kanak seperti yang dicatatkan ialah Zayn Rayyan Abdul Matiin.

Pasukan pembelaan memohon kepada mahkamah untuk meminda nama, Zayn Rayyan Abdul Matiin kepada Zayn Rayyan bin Zaim Ikhwan dalam kertas pertuduhan dihadapi ibu bapa kanak-kanak autistik itu.
Pasukan pembelaan memohon kepada mahkamah untuk meminda nama, Zayn Rayyan Abdul Matiin kepada Zayn Rayyan bin Zaim Ikhwan dalam kertas pertuduhan dihadapi ibu bapa kanak-kanak autistik itu.

Menurutnya, satu keputusan pembetulan daripada data kelahiran telah dikeluarkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Selangor, melalui Ismanira yang membetulkan maklumat dalam daftar kelahiran Zayn Rayyan, yang mana nama anak sulung mereka telah dipinda.

“Ia disahkan dalam sijil kelahiran baharu, iaitu nama arwah ialah Zayn Rayyan bin Zaim Ikhwan.

“Saya kemukakan salinan sijil kelahiran baharu, yang diterima pada 4 Julai lalu,” katanya ketika prosiding di hadapan Hakim, Dr Syahliza Warnoh.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Qistini Qamarul Abrar mengesahkan telah menerima salinan sijil lahir berkenaan, sebentar tadi.

Artikel Berkaitan:

“Memandangkan dokumen ini baru diserahkan kepada pendakwaan pagi ini, kami mohon perkembangan berhubung pindaan tersebut, dimaklumkan pada prosiding akan datang,” katanya yang turut dihadiri Timbalan Pendakwa Raya, Anis Hakimah Ibrahim.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Syahliza meminta pendakwaan menyemak perkata berkenaan terlebih dahulu, sekiranya terdapat sebarang perubahan.

Pada 13 Jun lalu, pasangan suami isteri itu, mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan, bersama-sama sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anaknya, Zayn Rayyan, 6, telah mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.

Kesalahan didakwa dilakukan di sekitar jalan PJU Damansara Damai di sini pada jam 12 tengah hari, 5 Disember 2023 hingga keesokannya pada jam 9.55 malam.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum bawah Seksyen 31(1) akta sama dibaca bersama seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Ia berserta tambahan kepada apa-apa hukuman yang dinyatakan dalam subseksyen (1), memerintahkan supaya orang yang disabitkan atas kesalahan di bawah subseksyen itu menyempurnakan bon dengan penjamin berkelakuan baik selama apa-apa tempoh dan dengan apa-apa syarat yang difikirkan patut oleh mahkamah serta melaksanakan khidmat masyarakat.

END

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!