Trans Tech 4TVET bangunkan ekonomi negara

Majlis Memorandum Perjanjian (MOA) Public-Private Research Network (PPRN) 2.0 Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah (PTSB) bersama Miracle Medallion Centre Enterprise disempurnakan oleh Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dr. Mohd Zahari Ismail.
Majlis Memorandum Perjanjian (MOA) Public-Private Research Network (PPRN) 2.0 Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah (PTSB) bersama Miracle Medallion Centre Enterprise disempurnakan oleh Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dr. Mohd Zahari Ismail.
A
A
A
PUTRAJAYA - Geran penyelidikan bidang pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) berpotensi membangunkan ekonomi negara terutama industri kecil dan sederhana (PKS).

Pengarah Pusat Penyelidikan dan Inovasi (PPI) Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Dr Riam Chau Mai berkata, menerusi geran penyelidikan yang dijalankan oleh institusi politeknik dan kolej komuniti (POLYCC) akan membuka lebih banyak peluang dalam membangunkan pelbagai teknologi.

Menurutnya, dengan mendapatkan sokongan kewangan dan sumber yang mencukupi untuk menjalankan penyelidikan berkualiti tinggi, ia berupaya membangunkan teknologi baharu dalam bidang masing-masing.

“Projek ini tidak hanya melahirkan produk dan perkhidmatan baharu tetapi berperanan meningkatkan pembangunan produk eksperimental serta menambah nilai ekonomi melalui kerjasama dengan industri setempat.

“Apabila kerajaan mengumumkan dana untuk penyelidikan TVET, ini membuka peluang lebih luas untuk mereka melakukan inovasi baharu dengan lebih efektif.

CHAU MAI
CHAU MAI



“Kerjasama antara industri dan institusi penyelidikan mampu memperkukuh inovasi selain latihan pembangunan secara berterusan,” katanya ketika ditemui di Pejabat Pengarah Pusat Penyelidikan dan Inovasi JPPKK, Galeria PjH, di sini pada Rabu.

Mengulas lanjut, beliau berkata, terdapat tiga jenis geran yang ditawarkan di bawah inisiatif Trans Tech 4-TVET iaitu TVET Applied Research Grant Scheme (T-ARGS), TVET Applied Innovation Grant Scheme (T-AIGS) dan TVET Applied Commercialization Grant Scheme (T-ACGS).

Jelasnya, ketiga-tiga geran tersebut bukan hanya memberi fokus kepada teknologi tetapi melihat potensi jangka panjang dan tahap persediaan untuk menyumbang kepada masyarakat selaras dengan objektif pendidikan POLYCC.

Artikel Berkaitan:


Kukuhkan ekosistem

Tambah beliau, pemberian geran tersebut dapat memperkukuh ekosistem penyelidikan dengan meningkatkan kemampuan dan kemahiran.

“Pada peringkat pertama geran T-ARGS ini memberi fokus kepada penyelidikan gunaan dengan tahap kesediaan teknologi dari tahap satu hingga tiga, manakala tahap kedua T-AIGS pula fokus kepada pembangunan dan pengujian inovasi dengan tahap empat hingga enam.

Inovasi dan kreativiti pensyarah TVET berada di tahap yang lebih baik dengan pelbagai hasil produk PKS.
Inovasi dan kreativiti pensyarah TVET berada di tahap yang lebih baik dengan pelbagai hasil produk PKS.



“Walau bagaimanapun, untuk peringkat ketiga T-ACGS lebih memberi tumpuan kepada pemasaran dan pengkomersialan produk dengan kesediaan teknologi daripada tahap tujuh hingga sembilan.

“Selain itu, T-AIGS bertujuan menghasilkan inovasi sosial yang dapat membantu menyelesaikan masalah dalam komuniti dan industri, manakala T-ACGS pula memastikan pemindahan teknologi yang efektif serta menjana pendapatan POLYCC melalui penjualan produk,” ujarnya.

Pemilihan ketat

Dalam pada itu, beliau berkata, setiap geran mempunyai nilai berbeza dan setakat tahun ini mereka sudah meluluskan 53 projek bernilai RM2.4 juta.

Menurutnya, antara bidang yang menjadi tumpuan adalah kejuruteraan, pertanian, akuakultur, teknologi hijau, pelancongan dan beberapa industri lain.

Penyelidikan yang dihasilkan menggunakan teknologi dan inovasi baharu memacu pembangunan ekonomi negara.
Penyelidikan yang dihasilkan menggunakan teknologi dan inovasi baharu memacu pembangunan ekonomi negara.



Tambah beliau, pemilihan yang ketat untuk setiap institusi mendapatkan geran akan dibuat melibatkan beberapa peringkat bagi memastikan produk yang dihasilkan mampu memberikan impak kepada industri dan komuniti.

“Bagi geran T-ARGS maksimum adalah RM80,000, geran T-AIGS sebanyak RM100,000 manakala T-ACGS pula RM40,000. Semua geran adalah dalam bentuk aplikasi,” kata Chau Mai.

Beliau berkata, setiap saringan yang dibuat daripada peringkat kertas kerja akan diteliti oleh pihak institusi sebelum dibawa kepada JPPKK dan dinilai bersama pemain industri serta pakar daripada pelbagai universiti di negara ini.

“Pihak kami akan membuat pemantauan berkala iaitu tiga bulan sekali. Mereka juga dikehendaki menyelesaikan setiap projek dalam masa setahun manakala berkenaan kewangan pula perlu diselesaikan dalam tempoh 10 bulan,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!