Remaja maut jatuh tingkat 20 pusat beli-belah
KUALA LUMPUR - Seorang remaja lelaki maut dipercayai terjatuh dari tingkat 20 bangunan pusat beli belah dekat Setapak pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Mohammad Lazim Ismail berkata, pihaknya sebelum itu menerima laporan berkaitan kejadian pada jam 8.39 malam.
"Mangsa dilaporkan merupakan seorang lelaki tempatan berumur 16 tahun dan merupakan pelajar sebuah sekolah.
"Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas perubatan," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.
Katanya, mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk proses bedah siasat.
"Kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR)," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!