Dua nelayan warga Indonesia didakwa edar lebih 10kg dadah

Dua nelayan warga Indonesia didakwa di Mahkamah Sesyen Teluk Intan pada Jumaat atas pertuduhan mengedar dadah jenis methamphetamine di Bagan Datuk, minggu lalu.
Dua nelayan warga Indonesia didakwa di Mahkamah Sesyen Teluk Intan pada Jumaat atas pertuduhan mengedar dadah jenis methamphetamine di Bagan Datuk, minggu lalu.
A
A
A

TELUK INTAN - Dua Nelayan warga Indonesia dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Teluk Intan pada Jumaat atas pertuduhan mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 10.61 kilogram (kg), minggu lalu.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Jasli, 48, dan Budi Heriansyah, 42, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Intan Nurul Farena Zainal Abidin.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa secara bersama mengedar dadah berkenaan di kawasan jeti Nelayan Kampung Bagan, Sungai Tiang dekat Selekoh dalam daerah Bagan Datuk sekitar jam 10 malam pada 15 Julai lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B (2) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan hendaklah dikenakan tidak kurang 15 sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Izzudin Fakri Hamdan manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian menetapkan 27 September depan untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan kimia.

Media melaporkan polis berjaya melumpuhkan sindiket pengedaran dadah antarabangsa yang menggunakan perairan negara dengan tertangkapnya dua warga Indonesia di kawasan jeti nelayan Sungai Tiang, Rungkup dekat Bagan Datuk, minggu lalu.

Artikel Berkaitan:

Serbuan dijalankan Unit Risik Pasukan Polis Marin Wilayah Satu Pulau Pinang sekitar jam 10 malam itu berjaya menahan kedua-dua suspek.

Berdasarkan siasatan, bekalan dadah dianggarkan bernilai RM340,000 itu diperoleh dari negara jiran dan dibawa masuk melalui perairan negara bagi tujuan pasaran luar.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!