'Puas hati suspek didakwa di mahkamah' - Sepupu Nur Farah Kartini

Suzursofia (kiri) bersama adik iparnya hadir mewakili keluarga mangsa bagi prosiding pertuduhan kes di Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu, di Hulu Selangor pada Jumaat.
Suzursofia (kiri) bersama adik iparnya hadir mewakili keluarga mangsa bagi prosiding pertuduhan kes di Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu, di Hulu Selangor pada Jumaat.
A
A
A

HULU SELANGOR - Keluarga kepada Nur Farah Kartini Abdullah, 25, berpuas hati apabila suspek yang didakwa membunuh bekas penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu dihadapkan ke muka pengadilan, pada Isnin.

Sepupu mangsa, Suzursofia Smeth Jaya, 33, berkata, dia bersama adik iparnya hadir mewakili keluarga mangsa bagi prosiding pertuduhan kes di Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu, di sini.

“Positif dan menerima baik (pertuduhan). Abang Farah akan hadir pada sebutan semula kes 30 Ogos ini. Kita mahu nasib arwah (Nur Farah Kartini) terbela dan mahukan keadilan,” katanya ketika ditemui pemberita di Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bahru, di sini, pada Jumaat.

Terdahulu, Muhammad Alif Monjani, 26, didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu di sini atas pertuduhan membunuh teman wanitanya, Nur Farah Kartini yang mayatnya ditemui di sebuah ladang kelapa sawit tiga minggu lalu.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh Muhammad Alif Monjani, 26, selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Nurul Mardhiah Mohammed Redza yang bertindak sebagai Majistret.

Mengikut pertuduhan, Muhammad Alif didakwa membunuh Nur Farah di Ladang SKC, Kledang, Mukim Hulu Bernam si antara pukul 9 pagi 10 Julai hingga pukul 6 petang 15 Julai lalu.

Berikutan itu, pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.

Ketika prosiding tertuduh diwakili peguam-peguam Aida Jaafar Mad Ariff dan Nur Aida Md Zainuddin.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah kemudian menetapkan 30 Ogos bagi sebutan semula kes.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan mayat Nur Farah Kartini dijumpai di kawasan ladang kelapa sawit di Kampung Seri Keledang, Hulu Selangor, pada 15 Julai lalu.

Berikutan itu, hari yang sama, suspek iaitu seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal yang bertugas di Perak telah ditahan.

Suspek kemudian direman tujuh hari sehingga 22 Julai sebelum dilanjutkan lagi tujuh hari untuk siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sepanjang tempoh itu, beberapa barang kes yang dikaitkan dengan kes terbabit telah dijumpai antaranya telefon pintar, beg tangan, kunci kereta dan dompet berisi kad pengenalan Nur Farah Kartini.

Penemuan barang kes itu ditemui di sekitar lokasi penemuan mayat mangsa selain di Sungai Trolak Kampung Batu, Perak.

Mangsa dilaporkan hilang pada 10 Julai lalu selepas menghantar kereta sewa di Taman Universiti, Tanjung Malim, Perak.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!