Pedoman awam berinteraksi dengan hadis

Penting fahami ilmu asas berkaitan hadis agar tidak terkeliru, terpesong dalam amalan, ajaran Islam

BAGI memastikan status hadis, kita perlu merujuk kepada kitab-kitab muktabar atau ulama dan pakar hadis. - Foto: CANVA/Gambar kecil: DR MOHD KHAIRULNAZRIN
BAGI memastikan status hadis, kita perlu merujuk kepada kitab-kitab muktabar atau ulama dan pakar hadis. - Foto: CANVA/Gambar kecil: DR MOHD KHAIRULNAZRIN
A
A
A

HADIS merupakan perkataan, perbuatan dan pengakuan Nabi Muhammad SAW. Ia adalah sumber kedua terpenting dalam Islam selepas al-Quran.

Memahami asas-asas dalam berinteraksi dengan hadis adalah penting bagi setiap Muslim untuk mendalami ajaran agama dan mengamalkannya dalam kehidupan seharian.

Struktur hadis terdiri daripada dua bahagian utama:

1- Matan

2 - Sanad

Matan ialah teks hadis itu sendiri manakala sanad ialah rantaian perawi yang meriwayatkan hadis tersebut. Kedua-dua elemen ini penting dalam menentukan kesahihan sesebuah hadis.

Klasifikasi hadis

Hadis diklasifikasikan kepada beberapa kategori berdasarkan kesahihannya:

Artikel Berkaitan:

1 - Hadis sahih

2 - Hadis hasan

3 - Hadis daif

4 - Hadis mawdu'

Hadis sahih adalah yang paling dipercayai, diikuti oleh hadis hasan (sederhana kuat), hadis daif (lemah) dan hadis mawdu’ (palsu).

Klasifikasi ini membantu umat Islam menilai kekuatan sesebuah hadis sebagai sumber hukum dan panduan.

PENTING untuk umat Islam mengetahui status hadis agar tidak tersalah dalam mengamalkan ajaran agama. Foto CANVA
PENTING untuk umat Islam mengetahui status hadis agar tidak tersalah dalam mengamalkan ajaran agama. Foto CANVA

Sumber utama hadis

Sumber-sumber utama hadis yang diiktiraf oleh para ulama adalah Al-Kutub as-Sittah atau Enam Kitab Utama.

Antara koleksi ini, Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim dianggap paling sahih dan dipercayai.

Walau bagaimanapun, ini tidak bermakna hadis-hadis di luar koleksi ini tidak boleh diterima.

Proses pengumpulan dan pengesahan hadis adalah satu usaha yang teliti dan sistematik yang dijalankan oleh para ulama hadis.

Mereka menggunakan kriteria ketat untuk menilai kesahihan sesebuah hadis, termasuk kebolehpercayaan perawi, kesinambungan sanad dan kesesuaian matan dengan al-Quran dan hadis-hadis sahih yang lain.

Penting fahami konteks hadis

Dalam memahami hadis, konteks adalah sangat penting. Asbab al-wurud (sebab dinyatakan hadis) dapat membantu kita memahami maksud sebenar sesebuah hadis.

Tanpa memahami konteks, kita mungkin terjebak dalam salah tafsir yang boleh membawa kepada hukum atau amalan yang tidak tepat.

Cabaran kontemporari dalam penggunaan hadis termasuk penyebaran hadis palsu, terutamanya melalui media sosial atau di meja kuliah agama.

Oleh itu, adalah penting bagi orang awam untuk berhati-hati dan sentiasa merujuk kepada sumber yang boleh dipercayai dan pakar dalam bidang hadis.


INFOGRAFIK panduan bagi orang awam memahami hadis dan mengelakkan masyarakat tidak terkeliru.
INFOGRAFIK panduan bagi orang awam memahami hadis dan mengelakkan masyarakat tidak terkeliru.

Langkah pengesahan status hadisUntuk mengesahkan kesahihan hadis, orang awam boleh mengambil beberapa langkah praktikal iaitu:

1 - Pastikan hadis tersebut mempunyai sumber yang jelas dan boleh dikesan.

2 - Semak hadis tersebut dalam kitab-kitab hadis yang muktabar.

3 - Rujuk kepada ulama atau pakar hadis jika terdapat keraguan.

Sumber-sumber yang boleh dipercayai untuk mempelajari dan mengesahkan hadis termasuk laman web rasmi institusi-institusi Islam yang diiktiraf, aplikasi mudah alih yang telah disahkan oleh pakar dan kitab-kitab hadis yang telah melalui proses tahqiq (disemak dan disahkan) oleh ulama kontemporari.

Kesimpulannya, hadis memainkan peranan penting dalam membentuk kehidupan seharian seorang Muslim.

Memahami asas-asas hadis membantu kita mengamalkan ajaran Islam dengan lebih tepat dan mengelakkan salah faham.

Sebagai orang awam, kita perlu sentiasa berhati-hati dalam menerima dan menyebarkan hadis, serta berterusan menimba ilmu daripada sumber-sumber yang sahih dan pakar-pakar yang berkelayakan.

Melalui pemahaman yang lebih baik tentang hadis, kita dapat menghayati ajaran Islam dengan lebih mendalam dan menjalani kehidupan yang lebih selaras dengan sunnah Nabi Muhammad SAW.

***DR MOHD KHAIRULNAZRIN MOHD NASIR merupakan Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!