Deadpool and Wolverine kembalikan semula kegemilangan MCU

Gandingan Reynolds dan Jackman memberi sinergi baharu yang berkesan.
Gandingan Reynolds dan Jackman memberi sinergi baharu yang berkesan.
A
A
A

ENTAH mengapa, semenjak Avengers: Endgame ditayangkan pada tahun 2019, filem-filem di bawah francais Marvel Cinematic Universe (MCU) selepas itu gagal meninggalkan kesan kepada penulis.

Justeru, apabila menjadi antara yang terawal di Malaysia menyaksikan filem terbaharu MCU, Deadpool & Wolverine, Selasa lalu, penulis tidak meletakkan harapan yang besar, sementelah tidak terlalu arif dengan 'keluarga' X-Men.

Namun semua itu berubah selepas 30 saat filem itu memulakan tayangan apabila Ryan Reynolds pantas menarik perhatian dengan aksi bersahajanya sebagai Deadpool.

Keadaan seterusnya menjadi semakin gamat dengan kemunculan Hugh Jackman menerusi watak ikoniknya, Wolverine.

Gandingan mantap mereka bagai satu kimia yang cukup sempurna, sehingga mampu mencetuskan adrenalin penonton untuk kekal bersama sepanjang tempoh dua jam 10 minit itu.

Bukan hanya dengan aksi mantap dan percikan darah di sana sini, tetapi di sebalik karakter yang berbeza, dialog sumpah seranah itu secara tidak langsung telah berjangkit kepada Wolverine yang tidak pernah tampil sebegitu dalam filem X-Men sebelum ini.

Emma Corrin tampil cemerlang sebagai villan bernama Cassandra Nova.
Emma Corrin tampil cemerlang sebagai villan bernama Cassandra Nova.

Ada sahaja kata-kata menyakitkan hati daripada Deadpool seperti biasa, tetapi mungkin agak sinikal kepada mereka yang terkait.

Artikel Berkaitan:

Namun bukan kata-kata tidak sopan itu yang ingin penulis fokuskan, tetapi gandingan mereka yang memberi dimensi baru dan tarikan kepada peminat MCU.

Secara tidak langsung juga, filem arahan Shawn Levy itu akan menjelaskan hubung kait antara X-Men dengan dunia MCU yang selama ini menjadi persoalan ramai.

Antara lain yang menjadi tarikan juga adalah kemunculan semula karakter-karakter lama X-Men yang sangat dirindui peminat francais tersebut. Walaupun tidak begitu arif dengan 'keluarga' X-Men, penulis teruja dengan kemunculan watak cameo ikonik.

Watak antagonis yang dijayakan Emma Corrin sebagai Cassandra Nova iaitu saudara kembar mantan X-Men, Charles Xavier juga tidak kurang cemerlangnya.

Meskipun ada yang tidak menyenangi cara Corrin menterjemahkan Cassandra, pada pandangan penulis, pelakon berusia 28 tahun itu berjaya menyelaraskan lakonannya setara dengan pelakon kelas A yang lebih hebat seperti Reynolds dan Jackman.

Ryan Reynolds tidak pernah mengecewakan sebagai Deadpool/Wade Wilson.
Ryan Reynolds tidak pernah mengecewakan sebagai Deadpool/Wade Wilson.

Tidak berakhir di situ, faktor lain untuk anda menonton Deadpool and Wolverine di pawagam adalah kerana runut bunyi filem tersebut yang bakal membawa penonton kembali ke zaman kegemilangan lagu tahun 1990-an.

Rasa seperti mahu bernyanyi bersama sambil menonton aksi Deadpool dan Wolverine.

Penulis tidak mahu memberi terlalu banyak 'spoiler' tetapi apa yang penulis mahukan katakan, ini filem terbaik MCU selepas Endgame!

DEADPOOL & WOLVERINE

PENGARAH: Shawn Levy

PELAKON: Ryan Reynolds, Hugh Jackman, Emma Corrin, Morena Baccarin, Rob Delaney, Leslie Uggams, Karan Soni, Matthew Macfadyen

GENRE: Aksi / Adiwira

DURASI: 2 Jam 10 Minit

KLASIFIKASI: 18

TAYANGAN: 25 Jul 2024

KESELURUHAN: 4.5 / 5 BINTANG

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!