Taburan hujan rendah, 7,400 pengguna air Pulau Pinang terjejas

Kira-kira 7,400 pengguna air di bahagian pulau mengalami gangguan bekalan air secara berkala berikutan taburan hujan yang rendah. Foto hiasan. Gambar kecil: Pathmanathan
Kira-kira 7,400 pengguna air di bahagian pulau mengalami gangguan bekalan air secara berkala berikutan taburan hujan yang rendah. Foto hiasan. Gambar kecil: Pathmanathan
A
A
A

GEORGE TOWN - Kira-kira 7,400 pengguna air di bahagian pulau mengalami gangguan bekalan air secara berkala berikutan taburan hujan yang rendah di kawasan tadahan air (KTA) Air Terjun Pulau Pinang di daerah Timur Laut (DTL) dan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Pinang.

LRA Sungai Pinang terletak di daerah Barat Daya (DBD) dan yang paling hampir dengan muka sauk Titi Kerawang.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), K Pathmanathan berkata, taburan hujan yang luar dari kebiasaan menyebabkan ribuan pengguna di bahagian pulau mengalami gangguan air secara berkala.

"Taburan hujan yang rendah telah mengurangkan air daripada sumber air mentah tradisional ini iaitu KTA Air Terjun Pulau Pinang dan LRA Sungai Pinang. Taburan hujan bagi bulan Julai di KTA Air Terjun Pulau Pinang adalah 100.5 milimeter (mm) manakala 54mm bagi LRA Sungai Pinang.

"Hasilnya, output air terawat dari LRA merosot kira-kira 42.9 peratus iaitu daripada 14 juta liter sehari (JLH) kepada 8 JLH. Sementara itu, pengeluaran air terawat dari LRA Sungai Pinang (yang bergantung kepada muka sauk Titi Kerawang) juga telah menurun sebanyak 33.33 peratus iaitu daripada 7.2 JLH kepada 4.8 JLH," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Pathmanathan menambah, akibat daripada itu, lapan kawasan telah mengalami kekurangan bekalan air iaitu George Town, Air Itam, Lebuhraya Thean Teik, Tanjung Bungah, Mount Erskine, Balik Pulau, Pulau Betong dan Bayan Lepas.

"Dalam keadaan biasa, PBAPP akan menampung kekurangan ini denganmenyalurkan air dari LRA lain ke kawasan yang terjejas.

"Bagaimanapun, berikutan fenomena El Niño 2024, PBAPP juga perlu menangani isu berkaitan kapasiti efektif empangan yang rendah dan paras air Sungai Muda di muka sauk Lahar Tiang, Seberang Perai," jelasnya lagi.

Artikel Berkaitan:

Menurut beliau, sehingga Khamis, kapasiti efektif Empangan Air Itam adalah 42.3 peratus dengan 48mm hujan manakala kapasiti Empangan Teluk Bahang adalah 32.2 peratys dengan 39mm hujan.

"PBAPP mempertahankan rizab Empangan Air Itam di bawah Pelan Tindakan Empangan Air Itam 2024 (AIDAP 2024).

"PBAPP juga sedang menguruskan bekalan air dengan teliti di kawasan perkhidmatan Empangan Teluk Bahang dan LRA Batu Ferringhi (Teluk Bahang, Batu Ferringhi dan kawasan di Tanjung Bungah dan Tanjung Tokong)," katanya.

Pathmanathan berkata, PBAPP sedang melaksanakan Fasa 1 Pelan Pengurusan Krisisnya untuk memastikan bekalan air mencukupi sehingga September.

"Antara tindakan yang sedang dijalankan ialah mengoptimumkan pengeluaran air di LRA Batu Ferringhi dan LRA Guillemard tanpa terlalu menjejaskan kapasiti berkesan Empangan Teluk Bahang. Tindakan ini membolehkan PBAPP mengagihkan sebanyak mungkin air terawat ke kawasan perkhidmatan Air Terjun dan LRA Sungai Pinang.

"Selain itu, kita meningkatkan pengeluaran air terawat di LRA Air Itam tanpa menjejaskan kapasiti efektif Empangan Air Itam. Tindakan ini akan mengurangkan kebergantungan Air Itam kepada air terawat dari Sungai Dua yang kemudiannya boleh dialihkan ke kawasan perkhidmatan pinggir LRA Air Terjun.

"Kita juga melaksanakan penghantaran lori tangki air dan tangki air statik ke kawasan yang terjejas untuk menyediakan air semasa tempoh permintaan tinggi selain mengawal injap dan operasi mengepam ketika waktu luar puncak pada hujung minggu untuk mengoptimumkan pengisian semula tiga kolam air utama di Bukit Dumbar, Bukit Gedung dan Teluk Kumbar," katanya.

Kata beliau, PBAPP juga akan berkomunikasi dengan Badan Kawal Selia Air Pulau Pinang untuk memohon operasi pembenihan awan dijalankan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!