1,500 usahawan terima manfaat

Mohd Najwan (tengah) merasmikan Bizmatch Mega PKNS:Himpunan Usahawan Selangor berlangsung di Dewan Raja Muda Musa di sini pada Selasa.
Mohd Najwan (tengah) merasmikan Bizmatch Mega PKNS:Himpunan Usahawan Selangor berlangsung di Dewan Raja Muda Musa di sini pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - Program Bizmatch Mega PKNS bantu usahawan kembangkan perniagaan Kira-kira 1,500 usahawan di Selangor menyertai Program Bizmatch Mega PKNS yang berlangsung di Dewan Raja Muda Musa, Seksyen 7 di sini pada Selasa.

Program anjuran Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di bawah Bahagian Pembangunan Usahawan (BPU) itu merupakan penganjuran edisi kedua sejak diperkenalkan tahun lepas.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Korporat) PKNS, Suhaimi Kasdon berkata, program itu menjadi platform kepada usahawan untuk memperkukuhkan rangkaian dan memajukan bisnes melalui padanan perniagaan.

Menurutnya, program yang turut melibatkan penyertaan 40 agensi berkaitan termasuk perbankan berperanan menyalurkan informasi dan kemudahan yang boleh ditawarkan kepada usahawan.

“Usahawan berpeluang mendapat input mengenai kemudahan ditawarkan di Selangor seperti pinjaman, geran, program keusahawanan dan kemudahan lain yang disediakan.

“Platform ini perlu digunakan sebaiknya oleh peserta untuk bertemu dan berinteraksi secara terus dengan agensi-agensi terlibat.

“Mereka boleh mendapatkan banyak maklumat, peluang, sokongan serta pandangan yang boleh dimanfaatkan dalam membantu membangunkan perniagaan masing-masing pada masa hadapan,” katanya ketika berucap di Bizmatch Mega PKNS: Himpunan Usahawan Selangor di sini.

Usahawan yang hadir mendapat informasi dan akses terus dari agensi keusahawanan dan agensi pembiaya yang terlibat di Bizmatch Mega PKNS.
Usahawan yang hadir mendapat informasi dan akses terus dari agensi keusahawanan dan agensi pembiaya yang terlibat di Bizmatch Mega PKNS.

Artikel Berkaitan:

Majlis perasmian disempurnakan oleh Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Negeri Selangor, Mohd Najwan Halimi yang sekali gus melancarkan Ekspo Usahawan Selangor (SELBIZ) 2024.

Antara agensi kewangan yang turut serta dalam program berkenaan ialah Agro Bank, Bank Simpanan Nasional (BSN), Maybank, Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), CIMB, Selangor Advance, SME Bank, Affi n Bank, RHB Bank, Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) dan Yayasan Hijrah.

Sementara itu, agensi keusahawanan yang terlibat ialah Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Ko Hijrah Selangor, Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS), SME Corp, Menteri Besar Selangor (Incorporated), Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia, Institut Keusahawanan Negara Berhad dan Perbadanan Pembangunan Berhad.

Inisiatif strategik

Menurut Suhaimi, program berskala besar itu merupakan titik mula untuk merancakkan lagi pertumbuhan perniagaan di Selangor.

SUHAIMI
SUHAIMI

Katanya, ia juga sebagai salah satu langkah membantu kerajaan Selangor dalam memacu pertumbuhan usahawan negeri ke tahap yang lebih tinggi. Tambah beliau, penganjuran program itu juga dapat menambah baik kemudahan keusahawanan yang ada di Selangor khususnya program-program ditawarkan PKNS.

“PKNS merasakan Selangor mempunyai pelbagai agensi yang menawarkan pelbagai kemudahan keusahawanan sama ada dari segi pembiayaan mahupun program pembangunan keusahawanan.

“Oleh itu, PKNS terpanggil untuk menjadi agensi yang mengetuai agensiagensi lain di dalam menghimpunkan segala kemudahan keusahawan yang ada di dalam satu platform yang diberi nama BizMatch Mega PKNS, ” kata Suhaimi.

Katanya lagi, pelbagai inisiatif strategik telah diambil PKNS untuk memastikan usahawan PKNS dan usahawan luar khususnya di Selangor mendapat akses kepada peluang-peluang penting yang boleh membantu memajukan perniagaan mereka.

Untuk rekod, PKNS telah melaksanakan beberapa siri program Bizmatching melibatkan usahawan PKNS sejak tahun 2021.

Bagaimanapun katanya, bermula tahun 2022, BPU telah melibatkan sesi Bizmatching bersama usahawan serta agensi luar antaranya program BizMatch Networking bersama Usahawan BNI BizMatch bersama Agensi Kewangan 2022, BizMatch bersama Hypermarket 2023 dan BizMatch bersama rangkaian pasar mini.

Pada tahun ini katanya, sebanyak tujuh siri program BizMatch dirangka melibatkan pelbagai pengisian antaranya BizMatch Networking yang telah diadakan pada 27 Februari lalu dan BizMatch MejaTalk Johor pada 9 Mei.

Selepas Bizmatch Mega PKNS Himpunan Usahawan Selangor 2024, program berikutnya ialah BizMatch Halal Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) pada 21 Ogos, BizMatch Pembungkusan pada 26 September, BizMatch Retails pada 24 Oktober dan BizMatch MejaTalk Sarawak pada 15 November 2024.

Sementara itu, usahawan yang hadir pada program tersebut berpandangan platform disediakan oleh PKNS itu akan digunakan sebaiknya untuk mengembangkan lagi pemasaran produk.

Peluang terbaik

Pengarah Urusan Elza Wellness International Sdn Bhd, Suhaiza Hussin berkata, program itu dapat membantunya mengetengahkan produk minuman sarang burung yang diusahakan sejak 2019.

“Ini peluang kepada usahawan untuk mencari potensi rakan perniagaan untuk kembangkan pasaran produk.

“Walaupun produk ini telah tembusi pasaran luar negara seperti Jakarta dan Singapura namun ketika ini penumpuan saya lebih kepada memperkukuh lagi pasaran domestik dan mengembangkannya ke seluruh Malaysia," katanya ketika ditemui pada program itu.

Katanya, ketika ini produknya telah dipasarkan ke pasar raya membabitkan tujuh cawangan Rosyam Mart selain mengeluarkan unit penyimpanan stok (SKU) dengan sekurang-kurangnya jualan 50,000 botol setahun.

Seorang lagi usahawan, Asraff Rosli, 36, berkata, produk BS Fitness Nutrition diusahakan sejak 2018 berpeluang untuk diperkembangkan lagi dalam pasaran menerusi platform Bizmatch Mega PKNS.

ASRAFF
ASRAFF

“Saya datang untuk melihat agensi yang dapat membantu dari segi pembiayaan untuk mengembangkan lagi kapasiti pengeluaran produk untuk memenuhi pasaran eksport.

“Saya merupakan usahawan kelahiran PKNS yang banyak memberi bimbingan dan peluang menghadiri program pemasaran ke luar negara hingga mendapat potensi pembeli antarabangsa,” katanya.

Ujar beliau, ketika ini produk keluaran syarikatnya telah dipasarkan ke beberapa negara luar termasuk Hong Kong, Brunei dan Singapura.

“Kita menghadapi kekangan dari segi pengeluaran namun ia dijangka dapat diatasi melalui pembukaan operasi kilang baharu nanti.

“Melalui bantuan agensi pembiayaan, diharap kita dapat kembangkan perniagaan, kuasai pasaran luar dan seterusnya permintaan eksport ke Abu Dhabi membabitkan pengeluaran sebanyak 10 kontena dapat dipenuhi,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!