[VIDEO] UMNO sasar menang 60 kerusi Parlimen pada PRU16

A
A
A

KOTA TINGGI - [DIKEMAS KINI] UMNO dan BN menyasarkan untuk menang lebih 60 kerusi Parlimen dalam Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) nanti.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, sasaran tersebut tidak mustahil walaupun pada PRU-15 UMNO hanya menang 26 kerusi manakala selebihnya dimenangi parti komponen BN.

"Tidak mustahil dalam politik daripada menang menjadi kalah, kalah menjadi menjadi menang. UMNO perlu menjadi parti dominan dan kita harap pada PRU-16 nanti UMNO dan BN dapat menang 60 atau lebih kurusi Parlimen," katanya.

Ahmad
Ahmad

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor itu berkata demikian ketika berucap dalam Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pengerang kali ke-21 Tahun 2024 di Lotus Desaru Beach Resort, Bandar Penawar di sini pada Jumaat.

Turut hadir Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said yang juga Ketua UMNO Bahagian Pengerang serta Timbalannya, Aznan Tamin.

Ahmad (empat dari kanan) dan Azalina (empat dari kiri) selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pengerang kali ke-21 Tahun 2024 di Lotus Desaru Beach Resort, Bandar Penawar, Kota Tinggi, pada Jumaat.
Ahmad (empat dari kanan) dan Azalina (empat dari kiri) selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pengerang kali ke-21 Tahun 2024 di Lotus Desaru Beach Resort, Bandar Penawar, Kota Tinggi, pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata, walaupun UMNO dan BN selepas PRU15 hanya tinggal 30 kerusi Parlimen tetapi tetap memainkan peranan penting dalam lanskap politik negara apabila bergabung dengan Pakatan Harapan (PH) membentuk Kerajaan Perpaduan.

Artikel Berkaitan:

Beliau mendakwa, UMNO menyelamatkan keadaan selepas PRU-15 apabila 30 kerusi BN dan 82 kerusi milik PH bergabung membentuk majoriti mudah menubuhkan kerajaan.

Sementara itu, Azalina berkata, UMNO perlu menjadi parti yang kembali dominan selepas ini dan mendapat tempat yan lebih baik pada PRU-16.

Katanya yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), UMNO masih lagi berkuasa ketika ini walaupun tidak sepenuhnya dalam keadaan yang mencabar apabila cuba dipecah belah daripada dalam serta digertak dan diugut dari luar.

Sebelum ini, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid dilaporkan berkata, jumlah kerusi sasaran untuk UMNO hanya akan diumumkan menjelang PRU-16 yang berbaki kira-kira tiga tahun lagi.

Menurut Ahmad Zahid, parti mahu merampas kembali kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang calonnya tewas dan berada pada kedudukan kedua pada PRU-15 serta pilihan raya negeri (PRN) sebelum ini.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri dan Pengerusi BN berkata, formula berkenaan boleh digunakan dan akan dibincang bersama parti lain dalam Kerajaan Perpaduan untuk diselesaikan.

Kerajaan Perpaduan ketika ini dibentuk daripada 18 parti terdiri lima gabungan politik iaitu PH, BN, Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Parti Warisan (Warisan).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!