Wang simpanan RM385,000 lesap angkara pelaburan tidak wujud

Seorang peniaga wanita berputih mata apabila wang simpanan hasil perniagaannya berjumlah RM385,000 lesap gara-gara menyertai pelaburan yang tidak wujud. Gambar hiasan
Seorang peniaga wanita berputih mata apabila wang simpanan hasil perniagaannya berjumlah RM385,000 lesap gara-gara menyertai pelaburan yang tidak wujud. Gambar hiasan
A
A
A

MUAR - Seorang peniaga wanita berputih mata apabila wang simpanan hasil perniagaannya berjumlah RM385,000 lesap gara-gara menyertai pelaburan yang tidak wujud.

Menurut Ketua Polis Derah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz, wanita warga tempatan berusia 50 tahun itu mula terjebak dengan pelaburan tersebut sejak mengenali suspek lelaki yang mengakui sebagai seorang warganegara China dan bekerja sebagai jurutera komputer.

Katanya, suspek yang kemudiannya menjalinkan hubungan cinta dengan suspek dan seterusnya ditawarkan untuk menyertai pelaburan berkenaan yang boleh menjana keuntungan sebanyak 50 peratus daripada modal yang dilaburkan dengan hanya perlu mendaftar pelaburan berkenaan melalui satu platform serta memasukkan modal ke platform tersebut.

“Pengadu kemudiannya telah melakukan sebanyak 12 transaksi berjumlah RM385,000 sebagai modal pelaburan dari tarikh 27 Jun 2024 hingga 10 Julai 2024 kepada dua akuan bank yang didaftarkan atas nama sebuah syarikat.

“Wanita berkenaan terkejut apabila mendapati keuntungan yang diperolehinya sebanyak RM600,000 apabila melihat platform tersebut, tetapi suspek memintanya memasukkan sejumlah RM100,000 lagi jika mahu mengeluarkan wang keuntungan tersebut.

“Wanita berkenaan bagaimanapun enggan berbuat demikian. Dia cuba menghubungi suspek, tetapi gagal. Wanita berkenaan kemudiannya terus membuat laporan polis berhubung perkara berkenaan,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih 10 tahun, dengan sebatan dan juga dikenakan denda.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!