Lelaki mengaku salah curi iPhone dipenjara dua bulan

Muhammad Ramdan (kanan) diiring polis ketika hadir ke mahkamah.
Muhammad Ramdan (kanan) diiring polis ketika hadir ke mahkamah.
A
A
A

PORT DICKSON - Padah mencuri telefon bimbit, seorang lelaki terpaksa meringkuk dua bulan di dalam penjara selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat.

Majistret, Uthman Abd Ghani menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhammad Ramdan Azaruddin Kamaruddin, 27, selepas kertas pertuduhan dibacakan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh telah didapati mencuri sebuah telefon bimbit jenis iPhone 13 Pro Max 512GB milik seorang lelaki berusia 22 tahun.

Kesalahan itu dilakukan pada 11 Julai 2024 jam lebih kurang 7.40 petang di sebuah rumah di Kampung Sri Parit, Lukut, Port Dickson.

Berikutan itu tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum tujuh tahun, atau dengan denda atau kedua-duanya.

Peguam, Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan(YBGK), Muhammad Adam Hasan merayu hukuman penjara minimum atas alasan tertuduh bekerja menjaga tapak projek dan menyara ibu bapanya.

Mengikut fakta kes, mangsa telah berurusan dengan tertuduh yang telah nyatakan hasrat mahu membeli IPhone miliknya pada 10 Julai lalu.

Artikel Berkaitan:

Pada 11 Julai, mereka telah berjumpa di sebuah rumah dan mangsa telah menyerahkan telefon bimbitnya kepada tertuduh untuk membuat pemeriksaan.

Bagaimanapun, tertuduh telah menghilangkan diri selepas memberitahu mahu bertanya kakak iparnya dan ingin ke bank untuk mengambil wang.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nadia Ezzati Mohd Zainal.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!