Pemilik jet ski tuntut permohonan maaf, kecewa kes ditular pempengaruh

Rotna Fairi menunjukkan gambar kerosakan jet ski berhubung kejadian tersebut.
Rotna Fairi menunjukkan gambar kerosakan jet ski berhubung kejadian tersebut.
A
A
A

LANGKAWI - Pemilik syarikat CBW Watersport, Rotna Fairi Rahani kecewa dengan tindakan pempengaruh media sosial Sarawak, Ngek Tsai menularkan kes yang dianggap selesai apabila kedua-dua pihak mencapai persetujuan berhubung pampasan kerosakan jet ski.

Rotna Fairi berkata, Ngek Tsai atau nama sebenarnya, Zameen Saini merupakan pelanggan yang menyewa jet ski milik syarikat tersebut ketika bercuti di Langkawi dan bersetuju membayar pampasan RM13,000 selepas jet ski tersebut mengalami kerosakan.

Menurutnya, berikutan itu, satu laporan polis dibuat di Balai Polis Padang Matsirat berhubung kejadian pada Khamis, selain menuntut Ngek Tsai memadamkan catatan tersebut di Facebook miliknya serta membuat permohonan maaf secara terbuka.

“Kes ini kini tular di media sosial selepas Ngek Tsai memuat naik perkara itu di Facebook miliknya.

"Pada hari kejadian, sekitar 6.15 petang, pekerja saya berbincang dengan pelanggan terbabit dan dia mengaku melakukan kesalahan selepas menyebabkan pelanggaran dua jet ski yang digunakan bersama rakan,” katanya di sini pada Jumaat.

Rotna Fairi turut mempersoalkan tujuan sebenar pempengaruh popular tersebut memuat naik status berkenaan dan tularkan di media sosial sedangkan dia sendiri mengakui kesalahan dan bersetuju membayar pampasan pada Ahad lalu.

Laporan Sinar Harian pada Jumaat.
Laporan Sinar Harian pada Jumaat.

"Selepas berbincang, kata sepakat dicapai apabila Ngek Tsai bersetuju bayar RM13,000 walaupun jumlah pampasan sebenar adalah RM15,000," katanya lagi yang mengusahakan perkhidmatan sewa jet ski lebih 10 tahun lalu di Pantai Tengah.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, sebagai pelanggan Ngek Tsai telah menandatangani borang identiti untuk mematuhi beberapa syarat ditetapkan selain bersetuju membayar pampasan sehingga RM20,000 jika berlaku kerosakan pada jet ski yang digunakan.

"Saya masih simpan rakaman video memaparkan Ngek Tsai mengaku salah atas kejadian dan bersetuju bayar pampasan RM13,000, tapi dia tularkan semula isu itu selepas balik ke Sarawak," katanya.

Rotna Fairi memberitahu, dia diminta hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi dua hari lalu dipercayai susulan laporan polis yang dibuat Ngek Tsai di Kuching, Sarawak.

“Disebabkan itu juga, saya turut buat laporan polis di Balai Polis Padang Matsirat pada Khamis, menuntut Ngek Tsai memadamkan catatan berkaitan syarikat di Facebook dan mohon maaf secara terbuka.

"Jika dia (Ngek Tsai) gagal berbuat demikian, pihak syarikat akan mengambil tindakan undang-undang," ujarnya.

Terdahulu, Ngek Tsai berkongsi kekecewaan di Facebook miliknya, Ngek Tsai Army selepas didakwa terpaksa membayar RM13,000 kerana merosakkan jet ski ketika melakukan riadah air di Pantai Tengah.

Menerusi catatannya, Ngek Tsai mengakui kemalangan itu berlaku kerana kesilapannya dan sudah membayar pampasan selepas berunding dengan syarikat terbabit.

Bagaimanapun, Ngek Tsai mendakwa tidak diberikan resit sebagai bukti pembayaran pampasan selain menyifatkan pampasan yang dikenakan terlalu tinggi.

Susulan itu, dia membuat laporan polis berhubung kejadian di Kuching selepas pulang ke Sarawak.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!