Lelaki dipenjara 24 bulan mengaku salah curi kereta, telefon bimbit
KUANTAN - Seorang lelaki yang ditahan selepas melarikan sebuah kereta jenis Honda City di sebuah stesen minyak di Semambu, 3 Jun lalu dihukum penjara 24 bulan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Kuantan pada Jumaat atas tuduhan mencuri kenderaan dan telefon bimbit.
Tertuduh, Mohammad Shahrul Ezwan Nordin, 40, mengaku bersalah atas dua pertuduhan itu di hadapan Majistret Tengku Eliana Tengku Kamaruzaman.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa mencuri kereta jenis Honda City milik seorang wanita di sebuah stesen minyak di Semambu di sini kira-kira jam 3.10 petang, 3 Jun lalu.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Tertuduh yang sebelum ini bekerja sebagai buruh mengaku bersalah sebelum dihukum penjara 16 bulan bagi kesalahan itu bermula dari tarikh dia disabitkan.
Dalam mahkamah sama, tertuduh yang sudah beristeri dan memiliki enam anak turut dihukum penjara lapan bulan selepas mengaku bersalah mencuri sebuah telefon bimbit milik seorang wanita di sebuah kedai runcit di Kuala Penor di sini jam 6.03 petang tarikh yang sama.
Bagi kesalahan itu, tertuduh di dakwa di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Ezuain Farhana Ahmad manakala tertuduh diwakili dua peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).
Semantara itu, dalam mahkamah berasingan, tertuduh yang kini sedang menjalani hukuman di Penjara Bentong atas kesalahan lain turut berdepan tuduhan menyimpan motosikal jenis Honda EX5 yang dicuri.
Tertuduh didakwa menyimpan motosikal menggunakan nombor pendaftaran palsu itu di stesen minyak, lokasi sama kes melarikan kereta pada 3 Jun lalu.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 411 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun dan denda.
Bagi tertuduh dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Aisyah Abdul Wahab di hadapan Majistret Raja Nor Shuzianna Shakila Raja Mamat itu, tertuduh juga mengaku bersalah bagaimanapun mahkamah menetapkan tarikh 31 Julai ini untuk sebutan keputusan hukuman kes itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!