Air tangki melimpah, 17 lif di Komtar henti operasi sementara

Pekerja dan kakitangan Komtar bertungkus lumus mengeluarkan air yang melimpah dalam kejadian awal pagi Jumaat.
Pekerja dan kakitangan Komtar bertungkus lumus mengeluarkan air yang melimpah dalam kejadian awal pagi Jumaat.
A
A
A

GEORGE TOWN - Sebuah tangki air di tingkat 27, Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) mengalami 'overflow' menyebabkan airnya melimpah sehingga masuk ke lif di kompleks berkenaan.

Kejadian yang berlaku pada jam 3.15 pagi itu menyebabkan pengurusan Komtar iaitu PDC Setia Urus Sdn Bhd (PDCSU) terpaksa menghentikan operasi lif buat sementara waktu.

Setakat ini, 17 lif tidak beroperasi dan masih menjalani pemeriksaan keselamatan.

Ketua Pegawai Operasi PDCSU, Loi Kai Horng berkata, ketika pemeriksaan awal dibuat ketika kejadian, hanya empat lif di zon rendah tidak terjejas dan dibenarkan beroperasi.

"Siasatan awal mendapati terdapat 'overflow' dari tangki air tersebut dan juruteknik PDCSU telah berjaya menghentikan aliran air keluar. Siasatan lanjut akan dijalankan untuk mengesan punca utama kejadian.

"Setakat ini, ada lima lif yang sudah boleh beroperasi iaitu empat di zon rendah dan satu di zon tengah manakala 17 lif lagi belum beroperasi.

"Lif zon rendah yang berfungsi hanya boleh sampai sehingga ke tingkat 26 manakala lif bagi zon tengah, boleh digunakan sehingga tingkat 46. Mereka yang bekerja di atas daripada tingkat 46 perlu menaiki tangga buat sementara waktu," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Tangki yang 'overflow' di tingkat 17, Komtar menyebabkan 17 lif di bangunan itu terpaksa dihentikan operasi.
Tangki yang 'overflow' di tingkat 17, Komtar menyebabkan 17 lif di bangunan itu terpaksa dihentikan operasi.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, ketika ini, pasukan kontraktor sedang berusaha untuk memulihkan operasi lif bagi zon tinggi iaitu bagi tingkat 46 ke atas.

"Kita sedang berusaha untuk memulihkan sekurang-kurang sebuah lif untuk zon tinggi. Kita jangka ia boleh dipulihkan hari ini juga. Kita akan bekerja sehingga malam.

"Pihak kontraktor perlu membuang air yang melimpah itu selain menggunakan kipas angin untuk mengeringkan air di situ. Dijangka esok pagi semua lif sudah pulih dan boleh digunakan," katanya.

Menurut beliau, di zon rendah, hanya empat daripada lapan lif beroperasi, bagi zon tengah, terdapat enam lif namun hanya sebuah beroperasi manakala bagi zon tinggi, kesemua lapan lif tidak beroperasi.

Pada pagi Jumaat, tular beberapa keping gambar memaparkan penjawat awam berkumpul di tingkat bawah Komtar berikutan tidak dapat menaiki lif untuk ke pejabat masing-masing.

Turut tular, beberapa keping gambar pekerja dan kakitangan kerajaan yang bertindak mengeluarkan air yang melimpah di hadapan lif di bangunan tersebut.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!